BINTANG muda golf negara, Sohniya Chandra Mohan menjadi inspirasi ramai selepas mampu terpilih untuk mewakili Malaysia bersaing dengan 12 negara menerusi kejohanan Piala Queen Sirikit (QSC) 2024 di Clearwater Golf Club, Christchurch, New Zealand pada minggu lepas.
Membawa nama negara di pentas Asia, Sohniya merupakan salah seorang daripada tiga pemain golf wanita negara yang dipilih oleh Persatuan Golf Wanita Malaysia (Malga) bagi mewakili Malaysia dalam kejohanan tersebut.
Ini sekali gus menjadi cabaran hebat buat gadis berusia 19 tahun itu untuk beraksi di padang golf luar negara yang berbeza berbanding di Malaysia.
Antara perbezaannya, cuaca sejuk yang melanda New Zealand menyukarkan dia beraksi dengan sempurna di padang golf New Zealand.
"Sekarang musim sejuk, berdepan dengan situasi yang sukar di sini. Pagi pergi driving range pun suhu 8 hingga 10 darjah Celsius sampaikan perlu pakai tiga helai baju.
"Malah saya terpaksa letak hot pack dekat dalam poket. Apabila rasa sejuk, saya masukkan tangan dalam poket supaya tak rasa kebas," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: 'Kali terakhir nampak di stesen berseorangan tapi tak tahu Nor Diana nak ke mana'
Sohniya pernah beraksi dalam lebih 40 pertandingan sukan golf.
BACA LAGI: Irfan Harris rindu puasa PKP, gembira masih dapat jadi imam solat tarawih bersama keluarga
Tidak hanya itu, Sohniya berkata, cuaca buruk disertai angin kencang juga mengaburi penglihatan untuk memberi fokus kepada sasaran golf.
"Penglihatan jadi kabur sebab terasa macam ada kabus-kabus di hadapan.
"First tournament pada 20 Mac itu pun terpaksa ditangguh kerana cuaca tidak baik. Tidak boleh nampak apa-apa di hadapan dan susah untuk swing kayu golf," katanya.
Sohniya berkata, ini bukan pengalaman pertama kali dia mengikuti kejohanan di luar negara dalam keadaan cuaca yang berbeza dari Malaysia.
Sebelum ini, dia juga pernah terpilih untuk bermain di Taiwan ketika Taiwan Junior Open pada 2023.
"Waktu itu main dalam keadaan angin kuat tetapi saya rasa seronok sebab menang tempat kedua," katanya.
Selain itu, Sohniya juga pernah terpilih untuk bersaing di The 30th Singha Thailand Ladies Amateur Open, Thailand; Taiwan Junior Open, Taiwan dan Women's Amateur Asian-Pacific Championships, Thailand.
Meskipun baru berusia 19 tahun, atlet berkenaan sudah beraksi dalam lebih 40 pertandingan golf.
Hebat dalam menghayunkan kayu golf, Sohniya mendapat bimbingan seorang pemain golf profesional, Ruhaizad Hasim semasa berumur 10 tahun di Johor.
"Dia ajar saya banyak perkara mengenai golf. Antara teknik yang masih saya gunakan sampai sekarang daripada jurulatih itu ialah impact golf technique," katanya.
Sohniya berkata, minatnya berputik dalam sukan golf apabila ibu bapanya meminta dia untuk mengikuti abangnya bermain golf secara santai di Palm Resort Golf & Country Club, Johor.
"Waktu kecil-kecil cuba masuk pertandingan dan apabila menang trofi rasa seronok pula main golf.
"Sekarang abang saya dah sambung belajar dan saya pula jadi atlet golf sepenuh masa kerana rasa sukan golf baik untuk kesihatan dan juga masa depan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram