Pendeposit Tabung Haji patut dapat pampasan jika bukan kes kecuaian ditipu scammer — Pakar


  • Massa
  • Jumaat, 08 Mac 2024

Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, terdapat dua kes penipuan kewangan didakwa melibatkan pendeposit Tabung Haji TH. — Gambar hiasan

SEJAK beberapa tahun lalu, jenayah penipuan dan scam kewangan di platform dalam talian dilaporkan semakin meningkat di Malaysia.

Malah, pihak yang menjalankan kegiatan tersebut juga dilihat semakin licik dalam menjalankan modus operandi mereka menipu mangsa.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman melaporkan, kes jenayah penipuan kewangan meningkat sebanyak 37 peratus bagi tempoh Januari hingga November 2023 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 iaitu daripada 23,608 kes kepada 32,366 kes.

Jumlah itu melibatkan nilai kerugian sebanyak RM1.13 bilion, meningkat 46 peratus berbanding tahun 2022.

Sementara itu, terbaharu, terdapat dua kes penipuan kewangan didakwa melibatkan pendeposit Tabung Haji (TH) dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Salah satu kes tersebut membabitkan bilal Masjid Al-Falah, Ulu Yam Bharu dekat Batang Kali, Selangor yang kerugian sejumlah RM12,000 yang didakwa dipindahkan tanpa kebenaran dalam tempoh empat hari melalui lima transaksi.

Menurut mangsa, wang dalam akaun Tabung Haji miliknya dipindah tanpa kebenaran pada Februari lalu.

Hasil siasatan polis mendapati, mangsa menerima satu pesanan ringkas dari TH menyatakan terdapat pemindahan wang membabitkan akaun miliknya ke akaun bank individu lain.

Susulan daripada itu, TH pada Rabu mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa pihaknya sudah mengambil langkah proaktif membekukan akaun mangsa bagi mengelakkan berlaku kerugian yang lebih besar.

1935930

Kes jenayah penipuan kewangan di dalam negara meningkat sebanyak 37 peratus bagi tempoh Januari hingga November 2023 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 iaitu daripada 23,608 kes kepada 32,366 kes. — Gambar hiasan

Katanya, tindakan itu dilakukan tiga hari sebelum aduan mangsa dibuat, selepas TH mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan.

Pada masa sama, institusi kewangan tersebut turut lagi mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka mana-mana mesej dan hantaran yang meragukan atau berkongsi data peribadi dengan mana-mana pihak.

TH dalam kenyataan sama juga sedang melakukan siasatan berhubung kejadian itu dan sedia bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Laporan mengenai dua kes tersebut ternyata menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit berhubung tahap keselamatan wang simpanan mereka.

Ini kerana dalam kejadian berkenaan, mangsa difahamkan tidak memberi kebenaran untuk memindahkan wang berkenaan kepada pihak lain.

Mengulas mengenai kes tersebut, perunding kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir berkata, TH seharusnya memberikan perincian lebih berhubung insiden berkenaan bagi menangani kebimbangan pendeposit.

"Untuk nak kembali yakinkan pendeposit, TH kena jelaskan macam mana duit itu boleh dipindahkan.

"Adakah insiden itu berlaku kerana wujud kelompongan dalam sistem keselamatan TH atau sebenarnya dalam kes itu, peminjam sebenarnya yang diperdaya sehingga mungkin dia kongsikan no TAC," katanya kepada Majoriti.

Menurut Shamsuddin, sekiranya transaksi yang berlaku itu sememangnya benar-benar dibuat tanpa kebenaran dan bukan disebabkan kecuaian penyimpan, beliau berkata, mangsa seharusnya mendapat pampasan daripada TH.

292807556_725513045429661_9110384137579333398_n

Shamsuddin Abdul Kadir. — Facebook

Bagaimanapun. beliau turut tidak menolak punca kes penipuan berkenaan berkemungkinan berlaku akibat kesilapan pendeposit sendiri.

Ini kerana menurutnya, kegiatan penipuan kewangan dalam talian kini dilihat semakin licik untuk memperdaya pengguna lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang tidak begitu celik IT.

Untuk menangani isu tersebut, Shamsuddin mencadangkan supaya TH memperkenalkan pilihan kepada pendeposit untuk melakukan transaksi sepenuhnya secara manual.

"Maknanya, TH mungkin boleh bagi pilihan kepada pendeposit yang mungkin tidak cerdik IT sangat untuk buat transaksi hanya secara manual di kaunter.

"Sebab TH juga kena faham bahawa yang menyimpan dengan mereka ini ada yang dah tua dan tak begitu mahir dengan IT.

"Jadi orang yang buat pilihan ini, mereka declare terus yang mereka tak benarkan sebarang transaksi secara dalam talian. Maksudnya kalau mereka nak keluarkan duit, memang kena pergi kaunter," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram