Google 'merajuk', keluarkan widget tukaran mata wang Ringgit enjin carian


  • Bizz
  • Jumaat, 22 Mac 2024

Google tidak lagi memaparkan graf yang menunjukkan perubahan nilai untuk tempoh tertentu MYR berbanding nilai mata wang asing lain.

GOOGLE telah mengeluarkan widget penukaran mata wang bagi Ringgit Malaysia (MYR) daripada halaman enjin carian selepas dua insiden yang menunjukkan kadar penukaran yang tidak tepat.

Hasil pemerhatian warga maya mendapati apabila carian dibuat bagi penukaran mata wang asing kepada ringgit, widget itu tidak lagi muncul secara automatik.

Enjin carian itu sebaliknya mencadangkan senarai laman web penukaran mata wang lain yang boleh digunakan pengguna.

Malah laman Facebook The Stoly juga turut berkongsikan beberapa tangkap layar enjin carian itu tidak memaparkan nilai penukaran Ringgit Malaysia ke dolar AS (AS$) secara automatik.

Enjin carian itu bagaimanapun berfungsi seperti biasa dalam penukaran mata wang asing seperti pound ke AS$ dan Rupiah Indonesia ke AS$.

Pada masa sama, Google juga tidak lagi memaparkan graf yang menunjukkan perubahan nilai untuk tempoh tertentu MYR berbanding nilai mata wang asing lain.

BACA LAGI : Google terbit data tidak tepat kali kedua, BNM nafi kadar pertukaran ringgit 4.98 berbanding dolar AS

BACA LAGI : Data pertukaran ringgit oleh Google tidak tepat, tegas Bank Negara

Tindakan enjin carian Google turut menimbulkan 1,001 satu persoalan dalam kalangan warga maya.

Sebelum ini, enjin carian itu berdepan masalah dengan Bank Negara Malaysia (BNM) disebabkan pelaporan 'tidak tepat' mengenai kadar tukaran ringgit berbanding dolar AS.

Bank pusat itu berkata, kadar tukaran RM4.98 kepada AS$1 dilaporkan oleh Google tidak menggambarkan dagangan sebenar, dan pihaknya akan menghubungi Google untuk mendapatkan penjelasan serta langkah pembetulan.

“Insiden ini merupakan kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran AS$/MYR yang tidak tepat pada 2024. BNM telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Februari 2024," katanya.

Susulan itu, Google Malaysia memohon maaf di atas kesilapan kadar pertukaran dolar AS$/MYR yang diterbitkan di laman kewangannya.

Google berkata, ia menyediakan kadar pertukaran mata wang untuk tujuan maklumat sahaja.

"Sila rujuk sumber rasmi seperti laman web Bank Negara Malaysia untuk membuat sebarang keputusan kewangan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram