POLIS akan merakam keterangan seorang pegawai kanan agensi penguatkuasaan membabitkan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengannya pada Khamis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia akan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
“Rakaman percakapan pegawai itu akan diambil pada Khamis pukul 2.30 petang,” katanya.
Pada Selasa, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung kes dakwaan gangguan seksual seperti yang tular sejak Selasa.
Unit Komunikasi Korporat APMM dalam kenyataan berkata, tindakan seorang wanita yang membuat laporan polis berhubung dakwaan itu adalah bermotifkan peribadi dan boleh mencemarkan reputasi serta maruah ketua pengarah dan keluarga, selain imej Maritim Malaysia sebagai agensi penguat kuasa.
Sebelum ini, tular laporan polis dibuat seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang juga perunding kewangan mendakwa lelaki bergelar ‘Datuk’ itu mengganggunya menerusi WhatsApp, sejak tahun lalu.
Selain mengeluarkan kata-kata berbaur lucah, ketua pengarah itu juga didakwa beberapa kali mengajaknya untuk berjumpa di hotel dan pusat karaoke, namun ditolak oleh wanita terbabit.
Situasi itu menjadi semakin serius apabila dia turut mendakwa Datuk berkenaan pernah menghantar kira-kira 10 video serta gambar lucah melalui mesej melalui telefon bimbit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram