[VIDEO] Kes dah hampir sebulan, dashcam rakam 2 lelaki berparang kejar, tetak pemandu lori sampai mati dalam kedai kopi di Padang Serai


  • 112
  • Jumaat, 15 Mac 2024

Tangkap layar video dashcam memaparkan kejadian tetak sehingga menyebabkan seorang lelaki maut di Padang Serai, Kedah pada 25 Februari lepas.

KES seorang lelaki maut dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai, Kulim, Kedah pada 25 Februari lalu kembali tular di media sosial sejak Jumaat.

Ia berikutan video papan pemuka (dashcam) yang memaparkan kejadian itu baru dikongsikan di semua platform media sosial sekali gus mendapat perhatian ramai.

Dalam video itu, kelihatan mangsa yang dikejar suspek dengan sebilah parang panjang di kawasan awam.

BACA LAGI: Gerai makan 'viral' dalam gua di Batu Caves tak ada lesen beroperasi, diberi notis pengosongan

photo_6311819776141409122_x

Salah seorang suspek yang membawa senjata tajam dalam kejadian itu.

BACA LAGI: 'Keluhan rakyat adalah real testimony', Dr Sam ajak kerajaan guna cara 'along non-partisan line' selesaikan masalah

Sebelum ini, Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, dalam insiden pada kira-kira 1.20 tengah hari itu, mangsa yang berusia 27 tahun telah diserang oleh dua lelaki bersenjatakan parang dan sabit.

"Mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori telah dikejar oleh kedua-dua suspek dari luar kedai. Mangsa yang cuba menyelamatkan diri dengan memasuki sebuah kedai kopi bagaimanapun telah ditetak sehingga rebah sebelum meninggal dunia di dalam kedai kopi berkenaan.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian tangan, dada, belakang badan dan muka akibat kesan serangan menggunakan senjata tajam itu.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada malam hari kejadian.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan kedua-dua suspek masih dijalankan.

"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk menghubungi Asisten Superintendan, Azmirul Abd Aziz di talian 019-444 6521 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 04-490 6222," katanya sambil menambah siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Namun, setelah sebulan berlalu, masih tiada sebarang kenyataan terkini dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kes tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram