SEORANG wanita warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan menyayat hati ketika menuju ke sebuah masjid di Merbau Pulas, Kedah pada Jumaat.
Kematian yang dicemburui ramai itu lebih menimbulkan rasa sebak apabila difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat subuh selepas bersahur.
Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook Denial Hakimie dipercayai cucu kepada mangsa, kejadian berlaku pada pukul 5.45 pagi dan melibatkan seorang lagi penunggang motosikal.
BACA LAGI: Terlampau semangat nak kibar bendera, pengemis panjat tiang elektrik maut lepas kena renjatan
Perginya mangsa pada bulan mulia. — Facebook
Mangsa yang juga merupakan ibu kepada seorang imam Masjid Darul'ulum Merbau Pulas yang dikenali sebagai Ustaz Hamdan itu meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Ibu kepada tuan imam telah dijemput Ilahi ketika perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat subuh berjemaah akibat kemalangan berhampiran masjid," katanya.
Dia juga memohon doa orang ramai buat arwah neneknya yang juga seorang guru mengajar mengaji al-Quran di kampung kediamannya.
"Sedekahkan al-Fatihah kepada arwah tok (nenek) saya, beliau seorang guru yang mengajar mengaji al-Quran di kampung kami," jelasnya.
Seorang lagi mangsa yang terlibat dalam kemalangan sama itu dikatakan cedera parah.
Namun, punca sebenar kemalangan masih tidak dapat dipastikan lagi.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram