Nekad si gadis kecil mahu paluan gendang Cina pikat hati semua kaum


  • Hobi
  • Ahad, 17 Mac 2024

JB Drums mencipta nama dengan membuat persembahan di program-program berprestij termasuk untuk keluarga diraja Johor. — FB JB Drums

TUBUHNYA kecil saja dengan anggaran berat 30 kilogram (kg). Tapi gendang yang harus dipikulnya, boleh mencecah sehingga 15kg, bergantung kepada saiz yang perlu dimainkan mengikut persembahan.

"Memang berat," luah Angeline Chua kepada Majoriti ketika ditemukan pada Majlis Perasmian Kejohanan Golf Media Antarabangsa di Forest City, baru-baru ini.

Gadis molek berusia 26 tahun itu antara puluhan pemain gendang kumpulan JB Drums yang membuat persembahan bertenaga pada majlis yang dihadiri tetamu dari dalam dan luar negara.

Paluan kumpulan itu amat mengujakan dan 'bukan biasa-biasa'. Tidak seperti gendang tarian naga, rentak yang dimainkan pada malam itu, harus diakui penulis amat memukau.

78836949b78df3cb7496393db2dd2be

Persembahan memukau yang ditonjolkan oleh JB Drums.

Bukan saja penulis, tapi kesemua hadirin terpaku, memberi fokus dan ada masanya kelihatan kaki mereka cuba mengikut rentak yang didendangkan.

Rupanya, JB Drums sudah lama mencipta nama di negara ini. Mereka antara kumpulan pemain gendang yang meneruskan warisan seni Gendang 24 Perayaan.

Merata persembahan sudah diadakan termasuk yang terbaharu ketika perayaan festival masyarakat Cina, JB Drums turut mengadakan persembahan untuk keluarga diraja Johor.

Selain itu, mereka juga menjalankan persembahan hampir di setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Berbalik kepada kisah Angeline, gadis kelahiran Johor Bahru ini, sudah lama menjiwai salah seni warisan kaum Cina ini.

"Masa belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) di Kelantan lagi saya sudah terlibat dalam aktiviti bermain dram," katanya.

Angeline Drums

Angeline (depan, paling kanan) bersama ahli kumpulan JB Drums. — FB JB Drums

Namun minatnya 'tergendala' akibat penularan Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia sehingga menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020.

"Disebabkan PKP pada 2020, kami semua pelajar terpaksa pulang ke rumah masing-masing, teruskan pembelajaran secara online dan tamat pengajian. Jadi tiada lagi terlibat dengan bermain dram atau gendang pada waktu itu," katanya.

Pandemik itu membuatkan Angeline 'terpisah' dengan aktiviti tersebut selama lebih dua tahun, tetapi ia sesekali tidak memadamkan minatnya untuk terus memukul gendang.

"Saya memang minat (bermain dram). Walaupun lebih 2 tahun tinggalkan aktiviti dram, saya masih mahu bermain dan saya cari, sanggup mencari di Internet tempat boleh main dram terutamanya di Johor.

"Akhirnya saya jumpa JB Drums. Saya tahu mereka buat persembahan di Mid Valley Southkey di JB. Saya sanggup turun ke sana untuk melihat mereka dan dapat tahu boleh sertai kelas," ujarnya.

Jodohnya dengan hobi bermain dram kembali bertaut apabila dia tidak membuang masa untuk menjadi sebahagian ahli JB Drums pada 2022.

JB Drum_Pikul

Ahli JB Drums perlu mengangkat sendiri peralatan yang boleh mencapai berat sehingga 15 kilogram. — FB JB Drums

Tetapi bagi dirinya yang bertubuh kecil, bermain dram dan gendang amat berbeza selain memberikan cabaran yang berbeza.

"Disebabkan saya berbadan kecil, saya perlu mengangkat gendang yang boleh mencapai berat sehingga 15kg. Bayangkan saya terpaksa pikul di bahu setiap kali sebelum dan habis persembahan.

"Tapi kerana minat, saya sanggup harungi cabaran ini," katanya yang menambah aktivitinya itu juga mendapat sokongan keluarga yang sentiasa mengikuti perkembangan seninya di media sosial.

Angeline meluangkan masa sekurang-kurangnya dua kali seminggu bersama JB Drums bagi memastikan kemahiran dan disiplin dalam dirinya dikekalkan.

Selain berlatih, Angeline juga perlu menabur idea kepada pasukannya untuk mencipta lagu baharu.

JB Drums Class

JB Drums menarik turut menarik minat bukan masyarakat Cina. — FB JB Drums

Di sebalik pengalaman masam manis sepanjang melakukan hobi tersebut, Angeline menanam hasrat murni yang mahu direalisasikan satu hari nanti.

"Semasa di USM, saya ada ramai kawan Melayu dan India. Jadi saya harap seni budaya Cina ini dapat diketahui dan dipelajari oleh kawan-kawan Melayu saya.

"Saya nak bagi exposure, ada small goal untuk make sure masyarakat luar tahu keunikan budaya ini," katanya.

JB Drums mula ditubuhkan pada 2006 dan kini sudah 18 tahun beroperasi dengan melahirkan ramai pemain gendang berbakat serta menjadi antara pemangkin warisan masyarakat Cina di Johor.

Ahlinya terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk seawal usia empat tahun sehinggalah ke usia lebih 60 tahun.

Angeline 1

Sebahagian ahli kumpulan JB Drums yang membuat persembahan di pusat beli belah. — FB JB Drums

Bagi anak muda yang baru berusia 14 tahun, kebolehan Shaolun Tan memalu gendang wajar dipuji.

Jika dibandingkan dengan Angeline, Shaolun boleh dianggap lebih 'senior' kerana sudah lima tahun menyertai kelab tersebut 2019 pada usia sembilan tahun.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Alam itu mengakui dia memang meminati seni warisan masyarakat Cina itu serta mendapat sokongan keluarga untuk terlibat dalam aktiviti tersebut.

"Tetapi ada syaratnya. Saya perlu jaga keputusan peperiksaan untuk terus bermain gendang. Jadi saya perlu bijak bahagikan masa.

"Masa cuti sekolah adalah waktu paling banyak saya luangkan bersama pasukan," katanya.

JB Drums Kids

Pelatih berusia seawal empat tahun turut didedahkan tentang seni Gendang 24 Perayaan. — FB JB Drums

Walaupun memegang status antara ahli yang paling muda, Shaolun tidak berasa tertekan apabila perlu bermain dengan bersama ahli yang lebih berusia dan berpengalaman.

"Mereka sangat menyokong saya walaupun usia muda, jadi kurang berasa tekanan. Ada kalanya saya tetap kena marah jika melakukan kesilapan," katanya.

Dengan kini sudah memiliki kira-kira 80 ahli termasuk lapan jurulatih, sejarah penubuhan JB Drums bukanlah bermula dengan mudah.

Seperti yang dikongsikan Timbalan Presidennya, Jarratt Leong, mereka sehingga kini bergerak secara bersendiri tanpa didokong mana-mana pihak.

Umpama seperti menguruskan sebuah syarikat, Jarratt berkata, segala peralatan kelab dibeli sendiri hasil perkongsian wang sesama ahli.

JB Drums_Istana Johor

JB Drums aktif dalam membuat persembahan kebudayaan merentasi kaum. — FB JB Drums

"Kami beli sendiri peralatan gendang, kami juga mengajar di sekolah dan mempunyai akademi sendiri untuk mengajar pelajar baharu.

"Kami melakukan persembahan dan mengajar untuk menampung kos persatuan kami ini," katanya sambil menambah JB Drums didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Mengulas tentang cabaran yang diharungi sepanjang mengemudi JB Drums, Jarrat berkata, lokasi menjadi ujian terbesar buat kumpulannya setiap kali melakukan persembahan.

Ini kerana katanya, lokasi persembahan kebiasaanya tidak sama dengan tempat latihan seperti keluasan dan suasana.

Selain itu, Jarrat yang bekerja sepenuh masa bersama JB Drums berkata, faktor persekitaran juga menjadi cabaran buat persatuannya untuk terus beroperasi.

JB Drums Jarrat_2

Jarrat (duduk, paling kanan) bersama pelatih dan pelawat yang mengunjungi JB Drums. — FB JB Drums

"Tempat latihan kami adalah kawasan rumah kedai, dan kadang kala kami rasa seperti mengganggu orang lain.

"Bunyinya kuat dan kami pernah terima aduan daripada orang ramai.

"Kami cuba untuk jelaskan kepada pengadu bahawa ini adalah budaya kami dan kadang-kala kami terpaksa menutup tingkap bagi mengelakkan bunyi kuat keluar. Jadi kami terpaksa menahan panas," jelas lelaki berusia 33 tahun itu.

JB Drums kebiasaannya menjalankan sesi latihan pada hujung minggu untuk ahli persatuan.

Namun rutin jurulatih agak berbeza kerana mereka perlu bertemu tiga kali seminggu bagi tujuan latihan dan sesi perbincangan bagi mencipta lagu baharu.

Tentang sambutan dalam kalangan masyarakat Cina, Jarrat berkata, seni gendang ini masih mendapat tempat dan tak luput dek zaman.

"Kami banyak mengajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah, jadi kami ada ruang untuk mempromosikan budaya ini kepada generasi muda.

"Kebanyakannya mereka masih lagi berminat untuk mewarisi budaya ini," katanya mengakhiri perbualan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram