PARA penggemar masakan pedas pasti berasa tak lengkap jika tidak menggunakan cili kering dalam masakan.
Cili kering bagaikan bahan wajib yang tersenarai dalam pembelian barang dapur setiap kali pergi ke pasar raya.
Malah, sesetengah orang akan memastikan dapur rumahnya sentiasa tersedia cili kering bagi memudahkan kegunaannya dalam masakan.
Namun, bagi mereka yang suka menyimpan cili kering dalam jangka masa yang terlalu lama sehingga berhabuk dan berkulat, anda perlu ketahui bahaya yang menanti jika masih menggunakannya.
Seperti yang dibangkitkan seorang guru, Syifa' Ul-hanani menerusi media sosialnya, dia menjelaskan bahawa cili kering yang disimpan sehingga berhabuk akan berpotensi mempunyai kulat.
Meskipun nampak seperti kotoran biasa, Syifa menjelaskan bahawa kulat atau fungi pada cili kering boleh menjadi toksin kepada manusia sekali gus membahayakan kesihatan.
“Fungi yang ada pada cili kering adalah jenis Aspergillus sp. dan majoritinya adalah Aspergillus section Flavi.
"Fungi ini akan menghasilkan aflatoxins ampuh katogeri sangat toksik (highly toxigenic) yang boleh menjadi ejen penyebab kanser hati.
"Terdapat empat jenis aflatoxins dan yang paling toksik adalah B1 yang dihasilakan oleh Aspergillus, fungi cili kering," katanya.
Malah, Syifa turut mendedahkan beberapa negara di dunia telah membuat peraturan untuk mengehadkan aflatoksin yang dibenarkan dalam makanan.
"Contohnya di Amerika Syarikat, maksimum 20microgram/kg, barulah ia dibenarkan untuk dijual. Jika berlebihan kandungannya, petani terpaksa membuang sahaja hasil pertanian mereka," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Keluang Man mula 'beraksi' April ini, peminat berpeluang jadi superhero di KidZania
Syifa menunjukkan rupa Aspergillus sp yang dibiakkan di atas piring petri.
Syifa turut menegaskan bahawa penyakit yang disebabkan oleh kulat yang dikenali sebagai Aspergillus sp boleh membiak di tempat lembap, gelap, sunyi dan suhu sekeliling yang sesuai.
“Selalunya ketika kita membeli, Aspergillus tidak nampak tetapi tiba-tiba kita balik rumah perap cili dalam almari dan apabila hendak memasak tengok ia sudah berkembang biak. Masa gunting berhabuk teruk. Ia mungkin disebabkan keadaan tempat menyimpannya sangat kondusif seperti lembap, gelap, sunyi dan suhu sekeliling yang sesuai,” jelasnya.
Syifa turut menasihatkan pengguna cili kering supaya tidak terlalu sayang untuk membuang cili kering yang berhabuk bagi mengelakkan mengundang masalah kesihatan.
“Apabila cili kering berkulat, ia sudah pasti melebihi had selamat iaitu 20 kilogram malah 100 hingga 1,000 kali lebih tinggi daripada dos asal.
"Jadi buanglah adik kakak. Jangan sayang sangat. Kesihatan lagi penting. Tak kena kanser sekarang belum tentu takkan kena nanti. Lagipun kanser bukannya kita makan karsinogen hari ini esok terus kena penyakit itu," katanya.
Syifa turut menyenaraikan beberapa kesan penyimpanan cili kering sehingga berkulat.
1. Pemakanan cili yang tercemar dengan aflatoksin di kawasan pengeluar cili besar dikaitkan dengan kanser hempedu.
2. Keimunan badan jadi lemah, senang kena penyakit.
3. Pertumbuhan dan perkembangan terbantut bagi kanak-kanak.
4. Boleh menyebabkan kerosakan dan kegagalan hati, sirosis yang diikuti dengan kematian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram