[VIDEO] Terlibat kemalangan akibat jalan berlubang, Lando Zawawi kongsi tip tuntut pampasan, mulakan saman


  • Massa
  • Khamis, 07 Mac 2024

Laporan polis penting untuk menyatakan bahawa kejadian kemalangan dan kerosakan harta benda yang berlaku itu adalah disebabkan laluan rosak.

KES kemalangan akibat laluan rosak termasuk jalan berlubang sememangnya kerap kali dilaporkan berlaku di dalam negara.

Malah, kejadian tersebut juga sering tular di sosial media.

Dalam insiden berkenaan, pengguna iaitu pemilik kereta atau motosikal kebiasaannya perlu menanggung kos membaiki yang tidak sedikit akibat kemalangan yang berlaku.

Lebih menyedihkan, kes sedemikian juga kadang kala melibatkan kehilangan nyawa oleh pengguna yang tidak bersalah.

Namun begitu, di sebalik kerapnya berlaku kejadian tersebut, masih ramai pihak didapati tidak mengetahui mengenai hak mangsa untuk membuat tuntutan atau memulakan tindakan saman.

Aktivis keselamatan jalan raya, Lando Zawawi, berkata, rata-rata pengguna tidak mengetahui bahawa mereka boleh membuat pampasan sekiranya terlibat dalam kemalangan akibat kerosakan laluan.

Katanya, tuntutan pampasan itu secara umumnya boleh dibuat terhadap dua pihak utama iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bergantung kepada situasi.

2493507

Kemalangan akibat jalan rosak juga berpotensi melibatkan kehilangan nyawa. — Gambar hiasan

Bagaimanapun, sebelum memulakan langkah tersebut, pengguna perlu terlebih dahulu melakukan tuntutan terhadap syarikat insurans masing-masing bagi kerosakan dialami.

Selepas daripada itu, beliau berkata, terdapat lima langkah perlu dilaksanakan orang ramai untuk membuat tuntutan pampasan atau saman kepada pihak bertanggungjawab.

1. Buat laporan polis

Menurut Lando, adalah langkah penting perlu dilakukan oleh mangsa adalah dengan membuat laporan polis.

Beliau berkata, di dalam laporan berkenaan, adalah penting untuk menyatakan bahawa kejadian kemalangan dan kerosakan harta benda yang berlaku itu adalah disebabkan laluan rosak.

"Jadi terma laluan rosak itu penting dan perlu ada dalam laporan," katanya.

2. Dapatkan rawatan di hospital

Bagi mereka yang mengalami kecederaan, Lando berkata, mereka juga dinasihatkan untuk pergi ke hospital untuk mendapatkan nasihat dan saranan daripada doktor.

Katanya, adalah penting untuk mangsa mendapatkan pemeriksaan penuh bagi memastikan mereka mendapatkan status penuh kecederaan yang dihadapi.

"Contohnya kalau saudara pengsan, pastikan pergi buat scan dan sebagainya, sebab kita tak tahu mungkin ada kecederaan dalaman yang kita tak nampak," ujarnya.

3. Dapatkan sebut harga

Pada masa sama, Lando berkata, dalam pengurusan kenderaan yang rosak, Lando berkata, adalah penting untuk mangsa pergi mendapatkan sebut harga daripada bengkel yang dipercayai.

Ini kerana menurutnya, maklumat itu akan diperlukan dalam dokumentasi yang dilakukan ketika proses tuntutan.

4. Pergi ke PBT atau JKR

Selepas melakukan tiga langkah awal tersebut, Lando berkata, pengguna kemudiannya boleh melakukan tuntutan pampasan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Untuk urusan di PBT, menurutnya, terdapat beberapa senarai dokumen yang akan diminta antaranya seperti laporan polis, salinan kad pengenalan, lesen memandu dan pendaftaran kenderaan.

TOP landoPRU15 - 1

Lando Zawawi.

Turut diperlukan adalah salinan insurans kenderaan, bil asal sebut harga bagi tuntutan dan gambar kerosakan kenderaan.

Lando berkata, gambar kerosakan kenderaan adalah antara bukti paling penting perlu dimiliki oleh pengguna.

"Untuk gambar kerosakan ini pastikan nampak lubang dan laluan yang rosak itu. Pastikan gambar itu memaparkan keseluruhan kerosakan agar lokasi itu dapat dikenal pasti.

"Kemudian kalau motor contohnya, katakan rim pecah, gambar motor terbabit dekat dengan jalan berlubang itu penting sebagai bukti saudara berada di sana," katanya.

5. Dapatkan khidmat guaman

Sementara itu, Lando berkata, dalam proses tuntutan berkenaan, ia kebiasaannya mengambil masa yang agak lama sehingga lebih enam bulan.

Malah katanya, terdapat juga mereka yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan pampasan.

Pada masa sama, beliau berkata, bayaran yang diberikan kepada mangsa juga lazimnya tidak 100 peratus daripada jumlah yang dituntut.

Dalam kes tersebut, beliau berkata, mangsa boleh mula mendapatkan bantuan guaman bagi melakukan tindakan saman kepada pihak yang bertanggungjawab sama ada PBT atau JKR bergantung kepada status laluan berkenaan.

"Sekiranya kita di pihak benar dan kemalangan tersebut tidak melibatkan unsur kecuaian daripada kita seperti memandu secara laju, atau di bawah pengaruh alkohol, saya percaya kemenangan akan berpihak kepada kita," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram