[VIDEO] Polis sahkan mangsa tercampak 15 meter, tapak pesta ria diarah tutup serta-merta


  • 112
  • Khamis, 07 Mac 2024

Mangsa yang tercampak sejauh 15 meter ketika menaiki permainan 'sotong ride' di Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu. — Facebook

POLIS mengarahkan pesta ria yang beroperasi di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah ditutup serta-merta selepas berlakunya kemalangan membabitkan pengunjung pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, penutupan itu bagi membolehkan pengendalinya memeriksa semula tahap keselamatan semua jenis permainan yang ditawarkan di taman hiburan itu.

BACA LAGI : Bukan kejadian pertama, 2 pengunjung cedera di kepala tercampak dari 'sotong ride' di Likas

BACA LAGI : Video kena curi, siap 'views' lagi tinggi, ramai beri tip buat Che Nom elak content kena cedok

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian kemalangan membabitkan salah sebuah tempat duduk permainan jenis ‘TAISTAR’ atau ‘sotong ride’.

“Kedua-dua mangsa tercampak keluar dari tempat duduk dan terjatuh sejauh 15 meter dari tempat permainan ketika permainan itu sedang berpusing,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zaidi berkata, dua mangsa yang cedera membabitkan seorang lelaki berusia 35 tahun yang mengalami kecederaan di kepala sehingga terpaksa menjalani pembedahan.

Manakala, mangsa kedua dikatakan merupakan seorang wanita berusia 29 tahun cedera dan luka di muka.

“Ambulans telah membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Pesta ria berkenaan beroperasi bermula dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam setiap hari dan mula beroperasi pada 2 Februari lalu.

Menurut penganjur, tapak pesta ria itu memperoleh lesen kebenaran hiburan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Terdahulu, Majoriti melaporkan seramai dua mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita cedera di kepala selepas tercampak keluar ketika menaiki permainan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram