Berdepan 'scam' palsukan kemalangan, ini yang patut anda lakukan


  • Massa
  • Rabu, 17 Nov 2021

DUA kejadian 'scam' palsukan kemalangan yang berlaku di Skudai, Johor dan Alor Setar, Kedah baru-baru ini. — Facebook

SEBELUM ini banyak kali kita melihat kejadian penipuan 'scam' palsukan kemalangan di mana suspek akan secara tiba-tiba menerpa ke kenderaan dan kemudian mendakwa menjadi mangsa langgar.

Kejadian yang banyak berlaku di China ini sudah semakin menular di dalam negara dengan dua kejadian dilaporkan iaitu di Alor Setar, Kedah dan Skudai, Johor baru-baru ini.

Tujuan suspek adalah untuk menjadikan dirinya sebagai mangsa dalam kejadian penipuan ini dan akan meminta pampasan atas dakwaan dia dilanggar.

Tetapi, jika kita sendiri berhadapan dengan situasi sebegini, apa sebenarnya yang perlu dilakukan? Bagaimana hendak mengelak daripada diperangkap suspek?

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, jika kita mempunyai alat perakam kenderaan, perkara tersebut boleh digunakan sebagai bukti bahawa kemalangan itu sengaja dibuat.

Namun jika kita tidak mempunyai alat perakam, seseorang itu tidak perlu panik, tegasnya.

"Ini kerana bukti bisu (bukti fizikal) yang berada di sekeliling akan menjadi disiasat pihak berkuasa.

"Malah, bukti bisu ini juga akan disiasat oleh unit forensik dan penyiasat trafik untuk membuktikan yang kejadian itu sebenarnya direka," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, amat sukar untuk suspek menipu kerana segala keterangan dan bukti bisu ini akan disiasat bagi membuktikan kebenaran.

Berikut adalah tips yang boleh digunakan sekiranya kita berhadapan dengan situasi 'scam' palsukan kemalangan.

1) Jangan panik dan segera keluarkan telefon pintar untuk merakam keadaan yang berlaku.

2) Ambil gambar kawasan sekeliling lokasi kejadian termasuk gambar suspek (sekiranya dia rebah).

3) Ambil gambar bonet kenderaan jika dia merebahkan dirinya supaya nampak seperti di langgar sebelum itu.

4) Jika kenderaan boleh bergerak, terus ke balai polis berhampiran.

5) Jangan buat laporan polis kemalangan, tetapi atas menjadi mangsa penipuan palsukan kemalangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram