Dua menara elektrik utama Ranau hampir runtuh akibat pergerakan tanah — SESB


  • Primer
  • Jumaat, 01 Mac 2024

Kerosakan yang berlaku terhadap salah satu menara yang terjejas ekoran pergerakan tanah di Ranau, Sabah.

DUA menara elektrik utama di daerah Ranau, Sabah dilaporkan hampir runtuh akibat pergerakan tanah, menurut Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yaakob Jaafar memaklumkan, kedua-dua menara itu membekalkan 275 kilowatt (KW) elektrik ke Pantai Timur dan barat Sabah, dengan 200KW daripadanya untuk kawasan Pantai Timur.

Beliau berkata, pergerakan tanah di bawah kedua-dua menara itu didapati berlaku lebih aktif daripada dijangkakan dan mereka tidak mempunyai pilihan selain mendapatkan bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), kerajaan negeri dan Tentera Udara.

"Kakitangan kami sudah mengesan masalah pada Disember dan langkah pembetulan segera telah diambil.

“Bagaimanapun, akibat pergerakan tanah yang aktif dan tanah yang tenggelam, beberapa bahagian di dasar menara mula pecah,” kata Yaakob semasa sidang media di Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.

Beliau berkata, usaha menangani perkara tersebut turut melibatkan kontraktor yang melakukan pemulihan kecemasan dengan 12 menara lencongan sementara bakal turut dibina.

"Menara ini akan tiba mengikut jadual tetapi kami perlu mempercepatkan proses tersebut kerana keadaan yang berlaku," jelas Yaakob.

BACA LAGI : Isu 'double park' menjadi-jadi, ramai beri idea apa nak buat elak pemilik kenderaan kena sidai

387806122_122094665156084030_3777386656755006447_n

Mohd Yaakob Jaafar. — Facebook

BACA LAGI : Proton Saga ada vest polis 'double park' di Ipoh dicari, perakam gambar diminta tampil beri kerjasama

Beliau berkata, tujuh menara sementara telah dibina dan SESB turut meminta lima menara daripada TNB.

“Kami juga telah meminta kerajaan negeri membantu mengangkut menara dan Tentera Udara telah ditugaskan bagi membantu,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya semua berjalan seperti dirancang, menara sementara pertama daripada TNB akan tiba dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Menurut Yaakob, dengan langkah-langkah ini dilaksanakan, pengguna tidak perlu risau berhubung kemungkinan berlakunya insiden terputus bekalan elektrik atau catuan.

Ujarnya, ia dengan mengambil kira tiada senario buruk lain yang berlaku seperti kerosakan lebih teruk terhadap menara terbabit termasuk keruntuhannya.

Beliau berkata, SESB menjalankan pemeriksaan rutin ke atas semua aset mereka setiap bulan dan menjalankan penilaian berkala setiap tahun.

"Selalunya, menara lencongan sementara dipasang untuk mengelakkan gangguan bekalan elektrik kerana pada 2008, Sabah mengalami keputusan bekalan elektrik menyeluruh dan kami tidak mahu perkara ini berulang," kata Yaakob.

Tindakan mendirikan menara sementara dilakukan supaya menara elektrik kekal boleh diganti tanpa mengganggu bekalan kuasa kepada pengguna. — The Star/ STEPHANIE LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram