Masa berhibur! 'Check out' 6 taman tema wajib dikunjungi musim cuti sekolah


  • Bizz
  • Khamis, 28 Dis 2023

Taman tema air menjanjikan keseronokan kepada pengunjung terutamanya ketika musim cuti sekolah. — Gambar hiasan

SUDAHKAH anda merancang untuk bercuti dan berhibur di taman tema bersama rakan-rakan dan keluarga pada musim cuti sekolah ini?

Apa kata anda pilih beberapa destinasi taman tema kerana negara kita memiliki banyak lokasi istimewa untuk anda bermandi-manda dan melakukan aktiviti pengembaraan yang menyeronokkan.

Bahkan pelancong asing turut kagum dan mencari taman-taman tema yang ada di Malaysia kerana kecanggihan dan kehebatan struktur binaannya sehingga menjadikan lokasi ini sebagai tempat tumpuan ramai. Berikut adalah beberapa taman tema yang harus dikunjungi.

1. Escape Penang, Pulau Pinang

Pernah dinobatkan sebagai Taman Tema Ketiga Tertinggi di Asia oleh TripAdvisor’s Travelers Choice 2022, taman tema Escape di Pulau Pinang merupakan lokasi yang menggabungkan kepelbagaian aktiviti yang direka khas untuk seisi keluarga, setiap satunya mempunyai had umur, tenaga dan keupayaan yang berbeza.

Taman tema yang berkonsepkan alam semula jadi ini menempatkan gelongsor air yang menjadi binaan terpanjang di dunia sejauh 1,111 meter (m) dan Zip Coaster yang mencatatkan rekod dunia terpanjang di dunia sejauh 1.14 kilometer.

Escape Penang, Pulau Pinang.

Escape Penang memiliki gelongsor air terpanjang di dunia.

Terdapat lebih 38 tarikan yang boleh anda cuba merangkumi aktiviti santai hinggalah ke aktiviti yang penuh mendebarkan sesuai untuk pelbagai peringkat umur.

Lokasi: 828, Jalan Teluk Bahang, Teluk Bahang, Pulau Pinang

Waktu operasi: 10 pagi hingga 6 petang. Tutup pada hari Isnin

2. Lost World of Tambun, Perak

Terletak di tengah-tengah formasi bukit batu kapur purba di Tambun, Perak, taman tema Lost World of Tambun menyambut pengunjung dengan pelbagai inovasi binaan taman permainan air yang mengagumkan sejak 2004.

Daripada aktiviti pengembaraan yang mendebarkan, permainan berasaskan air, zoo mini sehinggalah kolam air panas semula jadi terdapat banyak lagi aktiviti menarik yang boleh dicuba oleh pengunjung.

Taman tema ini terdiri daripada beberapa bahagian: Lost World Amusement Park, Lost World Water Park, Lost World Tin Valley dan Lost World of Petting Zoo.

P-RockCanopy

Lost World of Petting Zoo antara salah satu daya tarikan di Lost World of Tambun.

Sementara itu, pada waktu malam pengunjung boleh mencuba aktiviti penerokaan di Hutan Bercahaya (Luminous Forest). Rasai pengembaraan penuh epik di sepanjang laluan dan selami flora dan fauna mistik di sekelilingnya seperti berada di alam fantasi.

Lokasi: 1, Persiaran Lagun Sunway 1, Bandar Sunway, Ipoh, Perak

Waktu operasi: Dari Isnin hingga Jumaat (kecuali Selasa), 11 pagi hingga 11 malam. Pada hari minggu, cuti sekolah dan cuti umum (termasuk Selasa) dibuka jam 10 pagi hingga 11 malam. Lost World Hot Springs & Night Park dibuka setiap hari dari 6 petang hingga 11 malam

3. SplashMania, Selangor

SplashMania yang terletak di Bandar Gamuda Cove, Selangor memiliki kawasan seluas 3.2 hektar telah dibuka pada Februari tahun ini. Memiliki persekitaran hutan menghijau, ia mempunyai lebih 39 tunggangan dan gelongsor termasuk gelongsor air VR pertama di negara iaitu Atlantis VR.

Gelongsor sepanjang 250m ini menghiasi perjalanan realiti maya pengunjung ketika melewati laluan dunia mitos. Shaka Waka, gelongsor air multimedia dan audio sepanjang 78m merupakan salah satu tarikan utama taman ini.

Kesan cahaya dan bunyinya menjadikan pengalaman anda lebih mengujakan. Malah, terdapat sebuah kapal lanun gergasi yang dilengkapi dengan pelbagai gelongsor air.

1944134

Kapal lanun gergasi di SplashMania menempatkan pelbagai gelongsor air.

Jika anda cukup berani, jangan lepaskan peluang mencuba The Plunge iaitu gelongsor enam tingkat ke bawah dengan kelajuan yang sangat pantas.

Selain itu, Sungai Ravage pula adalah seksyen untuk anda berehat selepas penat bermain. Di sini, tersedia permainan tunggangan mesra khas untuk kanak-kanak.

Lokasi: Jalan Cove Sentral 4, Bandar Gamuda Cove, Dengkil, Selangor

Waktu operasi: 10 pagi hingga 6 petang. Tutup pada hari Rabu

4. Wetland Studios, Putrajaya

The Wetland Studios ialah pusat pendidikan dalaman yang dibuka pada pertengahan tahun 2023 dalam membawa misi meningkatkan kesedaran terhadap pelindungan alam sekitar dan pemuliharaan hidupan liar.

Pusat ini memaparkan pameran replika makhluk prasejarah bersaiz sebenar termasuklah The Origin, Dinosaur Encounter, Deep Sea Treasure dan The Great Migration.

Terbahagi kepada tiga aras, haiwan darat seperti dinosaur dan haiwan yang diancam kepupusan seperti gajah dan harimau boleh ditemui di aras kedua.

Wetland Studios, Putrajaya

The Wetland Studios ialah pusat pendidikan dalaman yang dibuka pada pertengahan tahun ini.

Aras pertama bercirikan air dan menempatkan hidupan laut manakala spesies bersayap serta berbulu pelepah dipamerkan di tingkat dua.

Lokasi: Persiaran Persekutuan, Presint 13, Putrajaya

Waktu operasi: 10 pagi hingga 6 petang, 10 pagi hingga 7 malam (hujung minggu)

5. Adventure Waterpark Desaru Coast, Johor

Bagi mereka yang mencari percutian yang lebih mencabar adrenalin, Desaru Coast Adventure Waterpark di Johor adalah pilihan yang tepat.

Taman tema seluas 10 hektar ini menawarkan pelbagai jenis aktiviti menarik untuk semua pengunjung seperti gelongsor air yang curam dan roller-coaster yang ekstrem.

MOBILEAWAP5

Adventure Waterpark Desaru Coast terkenal dengan kolam ombak terbesarnya.

Selain itu, pengunjung boleh mencuba hayunan kapal lanun, berenang di salah satu kolam ombak terbesar di rantau ini atau belayar di sepanjang sungai menikmati pemandangan.

Lokasi: Persiaran Pantai, Desaru Coast, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor

Waktu operasi: 10 pagi hingga 6 petang

6. Genting SkyWorlds Theme Park, Resorts World Genting, Pahang

Genting SkyWorlds mempunyai sembilan zon bertema filem dan inspirasi dunia yang memenuhi kawasan tanah seluas 10.5 hektar.

Diibaratkan sebagai syurga permainan untuk pelbagai lapisan umur, antara yang menarik di taman tema luar ialah trek jalan yang diilhamkan daripada Zaman Ais dan Samba Glider.

Genting SkyWorlds, Pahang.

Peluncur gantung di Genting SkyWorlds menawarkan pemandangan menakjubkan dari aras udara.

Penumpang akan ‘terbang’ merentasi langit menggunakan peluncur gantung. Cabar diri anda dalam Cabaran Menara Terraform dengan junaman yang menguji adrenalin anda dari puncak menara.

Nikmati persembahan secara langsung, pertunjukan dan permainan interaktif 3D di Natural History Museum.

Lokasi: Resorts World, Genting SkyWorlds, Genting Highlands, Pahang

Waktu operasi: 11 pagi hingga 6 petang. Tutup pada hari Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram