SEBUAH posting tular di media sosial yang mendakwa kos makan minum banduan di institusi penjara di negara ini berjumlah sebanyak RM41 sehari adalah tidak tepat serta tidak menggambarkan kos keseluruhan yang sebenar.
Jabatan Penjara Malaysia berkata, posting dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial dengan kenyataan berbunyi, "Kos makanan banduan di Malaysia RM41 sehari" menggunakan sumber berita yang disiarkan sebuah media tempatan, adalah kurang tepat.
"Hantaran terbabit dikesan menggunakan sumber laporan media terbabit yang dikeluarkan pada 18 Julai 2019.
BACA LAGI: [VIDEO] Seret campak masuk kolam renang, lelaki durjana dirakam cuba lemaskan kekasih hamil
"Bagaimanapun satu kenyataan pembetulan semula telah disiarkan melalui berita bertajuk "RM41 merangkumi kos operasi, kebajikan banduan pada tarikh 20 Julai 2019," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Jabatan Penjara dalam kenyataan itu memaklumkan, kos pengurusan penjara bagi seorang prospek untuk sehari kini adalah RM50.
"Jumlah ini bukan hanya perbelanjaan makan minum tetapi turut merangkumi kos keperluan asas, kos gaji, emolumen anggota dan kakitangan penjara juga," katanya.
Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan melalui hantaran terbabit jelas mengelirukan, tidak tepat dan tidak menggambarkan kos operasi sebenar pengurusan untuk seorang banduan sehari.
"Orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak tepat berkaitan perkara ini," katanya.
Pada Sabtu, tular hantaran menerusi platform X dan Facebook yang dimuat naik pengguna terbabit berkaitan kenyataan bertajuk kos makanan banduan di Malaysia RM41 sehari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram