Tangkap penjenayah bukan lesen buat orang awam 'jatuh hukum' sampai mati — Peguam


  • Massa
  • Sabtu, 24 Feb 2024

Tangkap layar seorang pemandu dilaporkan maut akibat didakwa dipukul sekumpulan lelaki di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor pada Selasa malam.

PADA Selasa lalu, negara dikejutkan dengan berita mengenai kematian seorang lelaki yang dipukul sekumpulan individu sehingga mati selepas terlibat dalam satu kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor.

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 42 tahun sebelum itu dilaporkan melarikan diri selepas terlibat dalam satu kemalangan.

Bagaimanapun, lelaki tersebut yang turut dikejar oleh orang awam sehingga menyebabkannya terbabas.

Ekoran daripada itu, mangsa seterusnya ditarik keluar oleh sekumpulan lelaki sebelum dipukul dengan tangan mangsa diikat sambil terbaring di tengah jalan berhampiran kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa disahkan mati di tempat kejadian dengan kesan bekas ikatan pada pergelangan tangannya.

Ekoran daripada itu, polis setakat Jumaat dilaporkan sudah menahan seramai tujuh suspek yang berusia antara 22 hingga 52 tahun yang disyaki terlibat dalam insiden pukul berkenaan.

Pada masa sama, dalam perkembangan terkini, polis turut memaklumkan bahawa mangsa yang maut disahkan positif dadah jenis syabu dan ganja ketika kejadian.

Malah, mangsa tersebut juga didapati memiliki 10 rekod dadah dan merupakan individu yang dikehendaki berkaitan dengan bahan terlarang berkenaan.

Sebelum itu, Zaid dilaporkan berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan motif kejadian turut masih sedang dalam siasatan.

WhatsApp Image 2024-02-23 at 4.55.42 PM

Mahmud Jumaat. — Facebook/MahmudJumaat

Dalam pada itu, mengulas mengenai kes tersebut, peguam bela dan peguam cara, Mahmud Jumaat berkata, di sebalik latar belakang mangsa dan juga insiden yang berlaku sebelum kejadian, orang ramai tidak boleh mengambil tindakan sendiri.

"Tak kira apa latar belakang mangsa, walaupun dia positif dadah dan ada rekod lampau pun. Kalau dia memang jahat sekalipun, kita tetap tak boleh buat keputusan sendiri hukum dia.

"Sewajarnya, kita hanya perlu ambil dia, panggil polis biar polis yang buat siasatan. Sekiranya kita sendiri jadi polis, jadi hakim jatuhkan hukuman, jadi akhirnya kita sendiri yang kena bertanggungjawab.

"Jadi bila berlakunya kes macam ini, kita daripada elok-elok cuba tangkap orang bersalah bawa ke muka pengadilan, akhirnya kita pula yang akan dibawa ke muka pengadilan," katanya kepada Majoriti.

Disebabkan itu, Mahmud berkata, individu terlibat dalam kes tersebut tetap boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh atau Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.

"Dalam kes ini, kalau tidak melibatkan sebarang senjata, yang boleh membunuh, tapi sekadar pukul beramai, mungkin dia boleh juga didakwa di bawah Seksyen 304 sebab tiada niat membunuh," ujarnya.

Dalam pada itu, Mahmud berkata, kewujudan fakta seperti latar belakang mangsa yang mempunyai rekod jenayah dan membuat cubaan melarikan diri hanya boleh digunakan bagi meringankan hukuman terhadap tertuduh.

"Dalam siasatan pihak polis, perkara ini mungkin boleh digunakan sebagai faktor pengurangan contohnya jika mungkin terdapat elemen provokasi atau ada perkara di luar kawalan.

"Jadi kewujudan fakta seperti ini mungkin boleh digunakan sebagai hujan pihak peguam bela untuk kurangkan hukuman," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram