Elak amalkan monopoli, tambah mekanisme saluran pembayaran bantuan Bingkas — MCCA


  • Massa
  • Sabtu, 24 Feb 2024

Kerajaan Selangor disarankan menambah beberapa bentuk mekanisme pembayaran kepada penerima bantuan Bingkas.

KERAJAAN Selangor digesa tidak mengamalkan sistem monopoli dalam menyalurkan pembayaran bantuan kepada penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, kerajaan negeri itu tidak seharusnya memberi satu pilihan sahaja iaitu dengan menggunakan aplikasi e-wallet, Wavpay, kepada penerima bantuan.

BACA LAGI : Bukan semua celik IT, penerima bantuan adu hadapi masalah ketika guna sistem Wavpay

msg1050426791-26254

Aplikasi Wavpay yang perlu digunakan penerima Bingkas.

Katanya, selain hanya menyediakan satu kaedah pembayaran, pihak kerajaan Selangor boleh menyediakan dua atau tiga bentuk mekanisme dalam menyalurkan bantuan.

"Kalau pembayaran gaji penjawat awam pun ada lebih daripada satu bank, sama juga dengan saluran bantuan. Tidak sepatutnya sediakan satu kaedah sahaja.

"Kerana apabila satu sahaja pilihan yang ada, ia boleh menyusahkan pengguna dan pihak kerajaan andai sistem itu berdepan masalah," katanya kepada Majoriti.

Cadangan tersebut disampaikan susulan respons Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selepas dilihat seolah-olah kurang mengambil berat tentang solusi terhadap masalah sistem Wavpay yang dihadapi sebahagian penerima Bingkas.

msg1050426791-26255

Amirudin ketika menjawab tentang isu berbangkit itu.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter (X) @jllmisai ada memuat naik aduan daripada penerima bantuan Bingkas yang menghadapi masalah mengemas kini aplikasi tersebut hampir dua minggu.

Tidak lama kemudian, Amirudin dilihat memberikan maklum balas dengan memberikan pautan ke YouTube tentang cara-cara mengemas kini aplikasi Wavpay untuk dilakukan sendiri oleh pengguna yang menghadapi masalah sama.

Rentetan itu juga, Amirudin berkata, tiada usaha lain diambil pihak kerajaan negeri selain mengemas kini sistem dalam aplikasi berkenaan.

"Setakat ini, tiada lagi perubahan melibatkan sistem tersebut. Hanya kemas kini sahaja sistem," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Buku dan Forum Pemanasan Dunia di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu lepas.

msg1050426791-26253

Bingkas merupakan bantuan bagi golongan B40 untuk kegunaan harian.

Justeru, Siraj mencadangkan bahawa kerajaan negeri memandang serius tentang cadangannya supaya masalah sama tidak berulang sekali gus dapat mengurangkan beban kepada kedua-dua pihak.

"Lebih baik jika mahu terus menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai, berikan dua atau tiga bentuk pilihan kerana ada banyak lagi platform lain yang ada persamaan dengan e-Wallet ini.

"Kita ada berpuluh pemilik dan pemegang lesen e-Wallet, takkan guna satu sahaja dan jangan amalkan sikap monopoli," jelasnya.

Tambahnya, kerajaan negeri turut dikatakan perlu lebih cakna terutamanya apabila melibatkan pemberian bantuan kepada rakyat agar dapat memudahkan pengguna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram