Bersatu berpotensi terlepas 4 kerusi jika PRK diadakan 


  • Politik
  • Isnin, 19 Feb 2024

Bersatu dilaporkan berdepan krisis selepas enam ahli Parlimennya bertindak mengkhianati parti dengan menyatakan sokongan kepada pentadbiran Anwar. — Gambar hiasan

PADA 2 Mac depan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal mengadakan Perhimpunan Agung Khas selama dua hari di Pusat Konvensyen Ideal IDCC, Shah Alam Selangor.

Tujuan utama perhimpunan tersebut tidak lain tidak bukan adalah bagi meminda perlembagaan parti tersebut untuk membolehkannya menghalang ahli Parlimennya daripada memberikan sokongan kepada pihak lawan.

Ia selepas seramai enam wakil rakyat parti itu secara terbuka di Parlimen menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pindaan itu antara lain dijangka akan menyebabkan ahli parti yang bertindak menyokong pihak lawan perlu mengosongkan kerusi Parlimen yang disandang dan seterusnya memberi ruang kepada berlangsung Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pada masa sama, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris pada 3 Februari lalu memaklumkan, pasukan peguam Bersatu sedang menyiapkan dokumen bagi mengheret enam ahli Parlimen yang mengkhianati parti ke mahkamah.

Katanya, langkah itu diambil supaya enam kerusi yang dimiliki ahli Parlimen terbabit itu dikosongkan sekali gus memberi ruang pengundi kawasan terbabit memilih wakil rakyat baharu.

BERSATU Annual General Meeting 	at the Ideal Convention Centre (IDCC) in Shah Alam. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Bersatu akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas selama dua hari bermula 2 Mac depan bagi meminda perlembagaan parti. — Gambar hiasan

Perkembangan tersebut dilihat bakal membuka ruang kepada kemungkinan berlakunya PRK di enam kawasan parlimen terbabit.

Ia melibatkan Parlimen Bukit Gantang yang disandang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Parlimen Jeli (Zahari Kechik), Parlimen Gua Musang (Mohd Azizi Abu Naim), Parlimen Kuala Kangsar (Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khali) dan Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Parlimen Tanjong Karang (Datuk Dr Zulkafperi).

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, potensi kemenangan di enam kerusi itu bergantung kepada sentimen sokongan semasa di negeri terlibat.

Bagi dua kerusi di Kelantan iaitu Parlimen Jeli dan Parlimen Gua Musang, beliau berkata, Bersatu dijangka tidak mempunyai masalah bagi mengekalkan penguasaannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, persaingan bagi dua kerusi di Perak dan satu kerusi di Selangor dijangka bakal menyaksikan pertarungan yang sengit.

"Kalau kita lihat sentimen di Kelantan itu masih belum berubah. Sama seperti di Kedah pun masih tak berubah seperti ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 2020.

"Jadi di Perak pun 50/50, kerana waktu pilihan raya lalu, Pakatan Harapan (PH) pun banyak juga menang. Jadi di Perak gelombang hijau itu tidak terlalu kuat.

"Sama juga di Selangor, walaupun PN dilihat ada peluang tinggi untuk pertahankan kerusi tersebut, PH masih ada peluang kerana mereka pun memiliki dominasi yang tinggi di Selangor," ujarnya.

428203248_10226253299138940_4554550588722089189_n

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris. — Facebook/RazaliIdris

Bagi kerusi Labuan, Mazlan berkata, penyandangnya dijangka tidak mempunyai masalah mempertahankan kerusi berkenaan sekiranya beliau membuat kerjasama dengan parti Kerajaan Perpaduan.

Ini kerana menurutnya senario politik di Sabah memberi kelebihan kepada pihak yang cenderung kepada pentadbiran semasa pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berkata, meskipun sentimen semasa dilihat berpihak kepada PN antaranya dalam isu menyentuh sensitiviti orang Melayu dan kos sara hidup, namun ia disifatkan masih tidak mencukupi untuk memastikan membolehkan parti itu mempertahankan kesemua kerusi yang disandangnya itu.

Ini kerana beliau berpandangan sentimen tersebut semata-mata tidak mencukupi untuk membantu mereka mempertahankan memenangi kerusi berkenaan.

"Memang diakui PN ada potensi besar untuk menang dengan isu-isu semasa yang berlaku sekarang ini.

"Sebagai contoh, pengundi kritikal pada PRU lalu sendiri yang terdiri daripada orang muda mungkin masih belum nampak sebab jelas yang membolehkan mereka beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

"Tapi bagi saya bahaya jika PN mengharapkan sentimen tersebut semata-mata. Satunya kerana pengundi kritikal ini tidak semestinya akan keluar mengundi.

"Jadi jika peratusan keluar mengundi rendah seperti beberapa PRK sebelum ini, ia akan memberi kelebihan kepada parti yang memiliki kekuatan asas sokongan akar umbi seperti Umno," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram