MoF nafi Nurul Izzah dibayar sebagai penasihat agensi kementerian


  • Primer
  • Rabu, 14 Feb 2024

MoF menangkis dakwaan fitnah yang mengatakan Nurul Izzah dibayar sebagai Penasihat kepada Laksana.

KEMENTERIAN Kewangan (MoF) menangkis dakwaan fitnah yang mengatakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dibayar sebagai Penasihat kepada Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana).

MoF dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, perjanjian sah ditandatangani Nurul Izzah adalah untuk memberikan khidmat nasihat kepada Laksana secara ‘probono’ atau tanpa mengambil imbuhan kewangan mahupun sebarang faedah, sepertimana dimaklumkan kepada umum.

“Hantaran yang tular di media sosial baru-baru ini adalah palsu dan fitnah semata-mata.

“Dokumen perjanjian yang diuar-uarkan di media sosial merupakan sebuah draf tawaran tidak sah,” katanya menerusi satu ciapan di platform rasmi X (Twitter), MoF pada Rabu.

Bagaimanapun ciapan dipadam tidak lama kemudian.

BACA LAGI : Hampir 500,000 data peribadi rakyat Malaysia terjual, peniaga aktif di platform e-dagang sejak Jun Lalu

GGRMIuVaUAAMVAK

Tangkap layar dokumen palsu yang dikongsikan di media sosial. — MoF

BACA LAGI : [VIDEO] Drama tebusan di George Town berakhir lepas 3 jam, anak derhaka jadikan ibu mangsa, ugut letup rumah

Pada Sabtu lalu, dalam satu kenyataan di Facebook, anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, peguamnya akan membuat laporan minggu depan selepas sambutan Tahun Baharu Cina berhubung fitnah yang sama.

“Jangan lupa pengauditan ProKhas terhadap Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Rangsangan Ekonomi Antara Agensi Negara (Laksana), barulah kisah benar disimpulkan.

"Jangan lupa menyebarkan maklumat palsu dan fitnah adalah melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Terima kasih kepada yang membaca," katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna Facebook memuat naik posting berbaur fitnah terhadap Nurul Izzah kononnya beliau dilantik sebagai penasihat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (Laksana) dan menerima gaji RM35,000.

Kandungan itu juga mendakwa Nurul Izzah diperuntukkan dua kakitangan, yang dibayar antara RM5,000 dan RM20,000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram