[VIDEO] Pemandu teksi Singapura didenda RM5,500 gara-gara mengamuk di PLUS


Kian Hui mengaku bersalah menyebabkan kerosakan bernilai RM2,500 pada sebuah kereta dalam kejadian itu.

SEORANG warga Singapura yang terlibat dalam insiden pergaduhan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Muar, Johor pada Rabu.

Soh Kian Hui, 45, mengaku bersalah menyebabkan kerosakan bernilai RM2,500 pada sebuah kereta dalam kejadian itu.

Lelaki terbabit yang merupakan pemandu teksi membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, Kian Hui merosakkan cermin depan kenderaan jenis Toyota Fortuner menggunakan tongkat selepas bertengkar dengan pemilik kenderaan terbabit yang berusia 31 tahun.

Kejadian berlaku pada pukul 1.58 tengah hari 10 Februari lalu di Kilometer KM139.6 PLUS dekat Pagoh, Muar.

BACA LAGI: [VIDEO] Dihalang guna laluan kecemasan punca warga Singapura mengamuk guna tongkat

2538577

Tangkap layar video memaparkan pergaduhan yang berlaku antara dua pemandu kereta di Lebuhraya PLUS, Johor pada Sabtu.

Dalam kes tersebut, Kian Hui didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang boleh membawa hukuman penjara satu hingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ariff Marzuki, manakala Norain Sakina Zikri menjadi peguam mewakili Kian Hui.

Semasa prosiding, Norain memaklumkan tertuduh kini menjaga ibunya berusia 71 tahun, yang kini sedang pulih daripada kanser dan menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

“Soh juga memperoleh kira-kira SGD3,000 (RM10,626) sebulan sebagaipemandu teksi dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau di negara ini. Dia juga telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis,” katanya.

Mohamad Ariff memohon denda yang lebih berat sebagai pencegahan bukan sahaja untuk Kian Hui tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain dan turut memetik bahaya yang berpotensi berlaku ekoran lokasi tertuduh memberhentikan kenderaannya.

BACA LAGI: [VIDEO] Cuma bergesel, driver Mitsubishi Lancer no plat Singapura siap hayun kayu golf marah-marah tengah highway

Mahkamah mengenakan denda, yang jika tidak dibayar, boleh membawa kepada hukuman penjara 12 bulan. Kian Hui kemudiannya membayar denda berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor Komisioner M. Kumar berkata, seorang lelaki warga asing berusia 40-an ditahan berikutan kejadian amuk di PLUS.

Penahanan itu, yang dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada pukul 3.30 pagi Isnin di Genting Highlands, Pahang, susulan laporan yang diterima pada pukul 2.36 petang 10 Februari lalu.

Video berdurasi 54 saat insiden pergaduhan itu turut tular di media sosial. — The Star/REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram