[VIDEO] Dihalang guna laluan kecemasan punca warga Singapura mengamuk guna tongkat


  • 112
  • Ahad, 11 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan pergaduhan yang berlaku antara dua pemandu kereta di Lebuhraya PLUS, Johor pada Sabtu.

POLIS mengesahkan berlaku perselisihan faham susulan kejadian pergaduhan melibatkan pengguna jalan raya di Kilometer 139.6 Lebuhraya Utara-Selatan, Pagoh, Johor pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima satu laporan berkenaan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.58 petang.

BACA LAGI: Cuma bergesel, driver Mitsubishi Lancer no plat Singapura siap hayun kayu golf marah-marah tengah highway

Raiz berkata, kejadian itu dipercayai membabitkan lelaki warga asing yang memandu kereta jenis Mitsubishi Lancer dengan pemandu Toyota Innova dipercayai warga tempatan.

"Ketika kejadian, beliau berkata, pemandu Mitsubishi dengan nombor plat Singapura dilihat cuba melanggar seorang lelaki sebelum keluar dari kenderaan sambil membawa tongkat kayu untuk memukul pemandu Innova," katanya dalam satu kenyataan.

Kejadian juga dilaporkan berlaku berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek kerana dihalang menggunakan laluan kecemasan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang mana pesalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan berkaitan, warga asing terbabit direman empat hari bermula Isnin.

Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh mengeluarkan perintah reman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, suspek berusia 40-an ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor di Genting Highlands, Pahang pukul 3.30 pagi Isnin.

Katanya, turut dirampas sebuah kereta Mitsubishi Lancer dipandu suspek pada hari kejadian bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram