'Jangan sia-siakan perjuangan kita', MP kerajaan persoal tindakan kerah polis ke pejabat Bersih


  • Politik
  • Rabu, 07 Feb 2024

Antara anggota polis yang hadir di ibu pejabat Bersih di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu bagi memantau sidang media yang diadakan gabungan tersebut. — Bersih

PENGUMUMAN Lembaga Pengampunan pada Jumaat lalu bagi memberikan pengurangan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sememangnya menimbulkan reaksi negatif terhadap sesetengah pihak di dalam negara.

Antara yang melahirkan sentimen tersebut ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Dalam satu kenyataan pada 3 Februari lalu, Bersih menggesa hukuman terhadap Najib dilaksanakan secara penuh sama seperti rakyat biasa yang melakukan kesalahan jenayah.

Walaupun Lembaga Pengampunan mempunyai hak Perlembagaan memberi pengampunan, namun gabungan itu berkata, keputusan tersebut bakal memberi kesan kepercayaan rakyat berhubung sistem keadilan negara.

Susukan daripada itu, Bersih pada Rabu turut mengadakan satu sidang media bagi menyatakan pendirian mereka berhubung perkembangan tersebut.

Pada masa sama, Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz sebelum itu pada Rabu dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak mengadakan protes ekoran pengurangan hukuman diberikan terhadap Najib.

Kenyataan itu dilihat dipercayai menjadi punca menyebabkan sidang media yang dijadualkan pada Rabu di ibu pejabat Bersih di Petaling Jaya, Selangor menjadi agak panas.

Ia selepas acara berkenaan turut dihadiri oleh kehadiran sepasukan pegawai polis.

Bersih menerusi ciapan di laman X pada Rabu menyelar situasi berkenaan yang disifatkan sebagai satu bentuk gangguan daripada pihak berkuasa.

Malah, hantaran berkenaan turut menyindir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berhubung komitmennya terhadap usaha reformasi yang diperjuangkan sebelum ini.

"Apa khabar reformasi?” ujar gabungan itu di X yang turut memetik akaun Saifuddin.

Bersih menerusi ciapan sama juga mempersoalkan mesej mahu disampaikan oleh Kerajaan Perpaduan menerusi tindakan tersebut.

“Kehadiran ramai pegawai polis untuk sidang akhbar berkaitan (permohonan) pengampunan Najib dan tuntutan #Reformasi100peratus.

“Adakah gangguan sebegini benar-benar mesej yang hendak disampaikan oleh Kerajaan Madani?” soal hantaran itu.

BACA LAGI: Najib bakal hantar permohonan pengampunan penuh baharu

BACA LAGI: Selain Najib, ada lagi 4 ahli politik pernah dapat pengampunan diraja

Dalam pada itu, perkembangan tersebut turut Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Syahredzan Johan yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai sesuatu yang tidak perlu.

"Saya tidak nampak ada keperluan untuk kerahkan sebegitu ramai anggota hanya untuk suatu sidang media.

"Ini akan dilihat sebagai suatu bentuk intimidasi dan amalan seperti ini tidak patut jadi kebiasaan di bawah Kerajaan Madani ini," tulis menerusi ciapan di laman X pada Rabu.

Beliau turut meminta Ketua Polis Negara dan Saifuddin agar melihat semula pendekatan yang digunakan dalam menangani perkara tersebut.

"Jangan sia-siakan perjuangan kita untuk menentang segala bentuk intimidasi penguasa selama ini," ujarnya.

Ketika sidang media tersebut, Bersih menegaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengadakan protes di jalan raya sekiranya Kerajaan Perpaduan gagal melaksanakan usaha reformasi yang dijanjikan sebelum ini.

Ia termasuk janji dan komitmen untuk membanteras rasuah dan mengambil tindakan terhadap pelakunya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram