Warga emas ditemukan lemas lepas redah banjir di Kuantan


  • 112
  • Khamis, 25 Jan 2024

Mangsa ditemukan orang awam pada pukul 12.39 tengah malam Khamis. — Bomba

SEORANG lelaki warga emas ditemui meninggal dunia selepas dilaporkan hilang ketika meredah banjir kilat di Pekan Sungai Lembing, Kuantan, Pahang, pada Rabu.

Komander Operasi Kanan Balai Bomba Indera Mahkoota, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.52 malam mengenai kejadian orang hilang dan dikhuatiri lemas di tempat kejadian.

"Bertindak atas maklumat yang diperolehi, Pasukan Bomba daripada BBP Indera Mahkota telah bergegas ke lokasi kejadian.

"Makluman daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Lembing menyatakan terdapat seorang lelaki berusia 60 tahun dikhuatiri lemas ketika mengharungi air banjir," katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: Terjatuh ketika tangkap ikan, 2 remaja ditemukan lemas dalam parit di Kota Tinggi

418981925_738516288375186_2051723517394682398_n

Mangsa lemas selepas dipercayai hilang ketika meredah banjir dalam di Pekan Sungai Lembing, Kuantan, Pahang, pada Rabu. — Bomba

BACA LAGI: [VIDEO] Budak nyaris lemas dilambung ombak besar ketika mandi di Pantai Kemayang

Susulan daripada itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Pahang Pahang menghubungi pihak polis yang mengesahkan mengenai laporan insiden orang dikhuatiri lemas di tempat kejadian.

Bagaimanapun, polis kemudiannya memaklumkan mangsa ditemukan orang awam pada pukul 12.39 tengah malam Khamis.

"Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibawa ke Balai Polis Sungai Lembing untuk tindakan lanjut," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang lemas ialah Lee Yie Chong, 62, yang merupakan pemilik kedai di pekan terbabit.

Menurutnya, berdasarkan laporan, mangsa dikatakan meredah banjir bersama isterinya yang berusia 63 dan anak lelakinya 37, untuk ke kereta mereka yang diletakkan di kawasan tinggi di seberang jalan.

"Mereka sebelum ini selesai memindahkan barang di dalam kedai pada 7 petang dan mangsa yang berada di tengah antara isteri dan anaknya, didakwa sempat memberitahu kepenatan sebelum hanyut arus.

"Isteri dan anaknya pula sempat berpaut di sebatang tiang sebelum diselamatkan orang awam," katanya dalam satu kenyataan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram