Tiada niat ketepi bahasa Melayu, PPAS tampil perjelas isu 'Library' Bangi


  • Massa
  • Isnin, 05 Feb 2024

Bahagian hadapan bangunan PPAS Daerah Hulu Langat masih mengekalkan penggunaan bahasa Melayu. — Facebook/PPAS Daerah Hulu Langat

TINDAKAN Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Daerah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, Selangor meletakkan papan tanda dengan perkataan bahasa Inggeris telah menarik perhatian warga maya.

Rata-rata mempersoalkan keputusan pihak berkenaan yang seolah-olah lebih memartabatkan bahasa penjajah berbanding bahasa ibunda.

Kebanyakan pihak beranggapan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku di negara yang menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Malah, isu berkenaan dilihat turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari.

BACA LAGI: 'Ini bukan London', MPKj diseru jawab perpustakan awam Bangi guna 'Library'

PPAS Bandar Baru Bangi yang didakwa menggunakan papan tanda dalam Bahasa Inggeris.

BACA LAGI: 'Penat ulang nasihat sama', Ketua Pengarah DBP turun padang gegar 'Library' Bangi

Menulis di ruangan komen pada satu hantaran di media sosial, Hazami memaklumkan isu tersebut sudah berada dalam perhatian pihaknya.

"Sesuatu yang mendukacitakan. Penat kita mengulangi nasihat yang sama. Pagi tadi saya datang sendiri ke situ untuk tinjauan awal," katanya pada Ahad.

Sementara itu, PPAS memaklumkan, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama DBP bagi membincangkan isu berbangkit dan usaha sama pada masa akan datang.

Ketua Bahagian Korporat, Zafrullah Aris berkata, kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat bagi menambah baik inisiatif memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

"Tidak timbul sebarang isu melibatkan (hubungan) kami dengan DBP. Mereka mendengar dan menerima penjelasan kami dengan baik.

"Petang tadi (Isnin) juga kami telah pun bermesyuarat di PPAS Daerah Hulu Langat. Pertemuan berjalan dengan lancar dan kami sudah menemui jalan tengah untuk menyelesaikan isu ini," katanya kepada Majoriti.

Beliau turut memberitahu, kedua-dua pihak bersedia untuk berbincang dengan lebih lanjut tentang kerjasama pada masa hadapan, di samping melebarkan lagi peranan perpustakaan kepada masyarakat.

"Kita akan buat beberapa penambahbaikan tetapi perkara tersebut belum dapat dikongsikan lagi kerana ia masih dalam perbincangan.

"Namun diharapkan hubungan yang sedia terjalin ini dapat ditingkatkan bagi memenuhi keperluan masyarakat dan negeri (Selangor)," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-02-05 at 22.28.40

Zafrullah Aris

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya langsung tidak berniat untuk mengenepikan bahasa Melayu, jauh sekali merendah-rendahkan martabat bahasa kebangsaan tersebut.

Jelas Zafrullah, beliau turut bersyukur kerana isu berkenaan tidak menjejaskan semangat orang ramai untuk mengunjungi perpustakaan tersebut.

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang rujukan atau permohonan untuk menaikkan papan tanda dengan bahasa Inggreris tersebut.

"Tiada rujukan dan permohonan yang MPKj terima," katanya ringkas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram