BEKAS Ahli Parlimen Tony Pua memuat naik beberapa hantaran sinis di Facebook miliknya pada Jumaat selepas keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menerusi Facebooknya itu, Tony Pua turut memuat naik satu gambar seolah-olah berbaur sindiran terhadap keputusan tersebut.
Beliau mendakwa, rakyat harus menunjukkan menerima keputusan itu kerana Najib sudah pun bertaubat.
"Memandangkan 'Raja Klep' (Najib) telah mengakui kesalahannya, bertaubat dalam penjara dan memohon pengampunan rakyat, kita harus menunjukkan kebaikan dan memberikan diskaun 50 peratus kepada hukuman penjaranya.
"Oh, dan kita boleh mengetepikan denda RM210 juta jika dia menerima diskaun 40 peratus sahaja.
"Lagipun, beliau pada zamannya sebagai Perdana Menteri bermurah hati mengagihkan jutaan ringgit kepada rakyat, termasuk kroni dan ahli politik.
"Oh tunggu, dia belum mengaku atau bertaubat? Oh.. dan wang itu bukan miliknya?," tulisnya.
BACA LAGI : Yakin tak bersalah, famili kecewa Najib tidak dibebaskan serta-merta
BACA LAGI : [VIDEO] Najib bebas 2028, hukuman penjara, denda dikurangkan lebih 70 peratus — Lembaga Pengampunan
Pada Jumaat, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara dan lebih 70 peratus untuk denda yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perkara tersebut dinyatakan dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh urusetia Lembaga Pengampunan.
Disebabkan itu, Majoriti turut melaporkan ahli keluarga Datuk Seri Najib Razak, meluahkan rasa kecewa dan kesal ekoran daripada keputusan bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat pengampunan penuh untuk dibebaskan serta-merta.
Perkara itu diluahkan oleh anaknya, Nooryana Najwa melalui akaun Instagram miliknya pada Jumaat.
Untuk rekod, Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta yang telah disedut daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Bekas Perdana Menteri itu juga sedang berdepan perbicaraan berkaitan kes salah guna kuasa melibatkan dana kewangan mencecah RM2.28 bilion, yang juga dipercayai memiliki kaitan dengan 1MDB. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
