
IBU bapa dan guru boleh memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah sekiranya tidak berpuas hati dengan silibus kurikulum yang digunakan di sekolah bagi pembelajaran murid.
Peguam, M Hafiz Zainul Abidin berkata, itu merupakan antara langkah perundangan yang boleh dilakukan sekiranya terdapat asas boleh dijadikan sebagai bukti khususnya berkaitan impak pelaksanaan sesuatu polisi.
"Kaedah semakan kehakiman ini boleh digunakan kerana ia dilakukan bertujuan bagi mencabar sesuatu keputusan undang-undang atau polisi yang dibuat termasuk oleh Kerajaan.
"Contohnya, sebelum ini ada pihak memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri Kesihatan mengenyahkan nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.
"Jadi sama juga dalam isu berkenaan silibus digunakan di sekolah ini. Mungkin ada sesetengah pihak merasakan pelaksanaan silibus digunakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak sesuai untuk umur murid tertentu, jadi mereka boleh mulakan semakan kehakiman di mahkamah," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Silibus sukar sampai aniaya murid, aktivis pendidikan gesa ibu bapa, guru bawa isu ke mahkamah
Peguam, M Hafiz Zainul Abidin.
BACA LAGI: Topik tak sesuai ikut umur, ibu bapa mohon KPM kaji semula silibus darjah 1
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan daripada seorang aktivis pendidikan agar ibu bapa dan guru membawa mengambil tindakan perundangan bagi menyelesaikan isu penggunaan silibus yang terlalu sukar sehingga menjejaskan keupayaan murid untuk belajar.
Semakan kehakiman merupakan prosedur perundangan yang digunakan untuk mencabar penggunaan kuasa oleh pihak berkuasa awam yang diperuntukkan di bawah undang-undang kerana didakwa menyalahi undang-undang.
Sekiranya semakan kehakiman itu berjaya, M Hafiz berkata, pihak terlibat wajib untuk mengikut perintah yang dikeluarkan mahkamah termasuk meminda polisi yang dilaksanakan.
Pada masa sama, beliau berkata, ibu bapa juga boleh memulakan tindakan saman untuk meminta ganti rugi sekiranya sekiranya penggunaan silibus itu memberikan impak negatif terhadap anak-anak mereka.
"Dalam kes ini, mungkin akibat daripada penggunaan silibus itu, anak-anak mereka menyebabkan anak-anak itu trauma untuk belajar, stres atau menjejaskan mental terhadap mereka.
Bagaimanapun, untuk memastikan tuntutan itu berjaya, M Hafiz berkata, pihak yang mengemukakan saman perlu memastikan bahawa bukti yang diperolehi adalah benar-benar kukuh untuk digunakan di mahkamah.
"Mereka mungkin boleh kemukakan contohnya data berapa banyak pelajar yang terkesan mentalnya seperti stres sampai memerlukan rawatan psikiatri akibat silibus yang digunakan.
"Jadi bukti sedemikian boleh digunakan oleh mahkamah untuk menilai kes tersebut," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram