
LEMBAGA Pengampunan memutuskan untuk memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara dan lebih 70 peratus untuk denda yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perkara tersebut dinyatakan dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh urusetia Lembaga Pengampunan pada Jumaat.
"Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
"Oleh yang demikian, Datuk Seri Najib Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000 dikurangkan kepada RM50,000,000.
BACA LAGI: Pembebasan Najib tak beri sebarang nilai tambah kepada rakyat — Anwar
"Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Datuk Seri Najib Razak akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029," ujar kenyataan itu.
Dalam kenyataan tersebut, ia memaklumkan bahawa Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah bersidang pada 29 Januari lalu dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
BACA LAGI: Andai benar dapat pengampunan, 5 perkara yang boleh dilakukan Najib Razak
Ujarnya, semasa mesyuarat berkenaan, sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan daripada Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan.
Untuk rekod, Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta yang telah disedut daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Bekas Perdana Menteri itu juga sedang berdepan perbicaraan berkaitan kes salah guna kuasa melibatkan dana kewangan mencecah RM2.28 bilion, yang juga dipercayai memiliki kaitan dengan 1MDB. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram