Pura-pura nak bergambar, pembantu kedai runcit mengaku cabul pelancong Sepanyol berdekatan masjid Ipoh


Muhammad Aiman Danial (tunduk) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa.

SEORANG pembantu kedai runcit mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak atas pertuduhan mencabul seorang pelancong Sepanyol minggu lepas.

Tertuduh, Muhammad Aiman Danial Mohd Najib, 22, mengaku melakukan jenayah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif pada Selasa.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita warga asing berusia 22 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

BACA LAGI: Rasa 'sayang' boleh buat anda keracunan ubat

0af0b5398728f622e435505d0aeea490

Kejadian itu berlaku di Lorong Seni, Kinta, Ipoh.

BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura buka kedai, suami tikam mati isteri, skandal sedang buat ‘projek’ depan mata

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lorong Seni atau Lorong Panglima Ipoh berdekatan Masjid Sultan Idris Shah Kedua, Kinta, Perak sekitar pukul 7 petang pada 24 Januari 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki video lucah di dalam telefon bimbitnya ketika ditahan di tepi jalan di Jalan CM Yusoff, Ipoh sekitar pukul 6 petang pada 25 Januari 2024.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kesan emosi mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan meminta hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya itu telah mengaku bersalah dan berjanji tidak mengulangi perbuatan sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan RM2,000 bagi setiap pertuduhan selain dikenakan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar kedua-dua denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dan rakan perempuannya telah diekori oleh suspek sehingga ke lokasi kejadian sebelum lelaki terbabit meminta untuk mengambil gambar bersama rakan mangsa.

Semasa bergambar, suspek telah memeluk erat bahu wanita tersebut sebelum bertindak keterlaluan dengan meramas dada mangsa.

Mangsa yang terkejut telah menolak suspek dan menjerit, menyebabkan lelaki itu terus melarikan diri.

Ketika kejadian, rakan mangsa sempat merakam gambar suspek. — TheStar/MANJIT KAUR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram