Mahkamah tolak permohonan Najib ketepi injuksi kes saman 1MDB


Najib hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu atas pertuduhan berkaitan dana 1MDB. —Bernama

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan injunksi Mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu anak syarikatnya, bagi menghalang beliau daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$681 juta (RM3.2 bilion).

Hakim, Atan Mustaffa Yussof Ahmad pada Rabu memutuskan bahawa injunksi itu perlu dikekalkan sehingga saman 1MDB selesai.

Injunksi Mareva ialah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.

Pada 8 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) bagi injunksi Mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) iaitu plaintif pertama dan kelima dalam saman terhadap Najib dan beberapa individu lagi.

Injunksi itu turut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman namun sekiranya jumlah lebih banyak diperlukan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram