POLIS Perak sedang mengesan warga asing yang juga pempengaruh media sosial bagi membantu siasatan berhubung anggota trafik yang kononnya menawarkan diskaun saman ketika ditahan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, bagaimanapun difahamkan pasangan warga asing itu kini berada di luar negara.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti anggota trafik yang terlibat sama ada anggota itu berkhidmat di kontinjen di negeri ini atau lain kontinjen.
"Kami masih lagi menjejaki mereka bagi membantu siasatan selain kami juga mengenal pasti daripada pelbagai aspek iaitu lokasi, tarikh serta masa kejadian itu berlaku.
BACA LAGI : [VIDEO] 'Pergi balai RM300, bayar sini RM100', PDRM siasat anggota trafik bagi pasangan UK pilih bayar saman
BACA LAGI : 'Skim pencen perlu dikekalkan untuk penjawat awam tertentu'
"Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah meminta saya untuk menyerahkan kepada mereka untuk membuat siasatan dahulu di mana perkara itu berlaku," katanya pada Isnin.
Pada Ahad, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang kononnya menawarkan diskaun saman trafik kepada pasangan warga asing ketika ditahan di lokasi kejadian.
Kejadian itu tular selepas video memaparkan tindakan anggota polis terbabit dimuat naik menerusi halaman YouTube pasangan berkenaan sebelum dikongsi beberapa pengguna media sosial.
Pasangan terbabit ditahan seorang individu dipercayai anggota polis kerana didakwa memandu melebihi had laju, namun anggota terbabit menawarkan diskaun saman daripada RM300 menjadi RM100 jika dibayar terus kepadanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram