Dari serpih menjadi debu, Bersatu perlu kekang 3 cabaran demi kekal relevan


  • Politik
  • Isnin, 29 Jan 2024

Bersatu kini sedang dipimpin oleh Muhyiddin yang memegang jawatan selaku Presiden parti.

MESKIPUN baru ditubuhkan hanya dalam tempoh tidak sampai sedekad, pengaruh dimiliki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam politik negara bukan sesuatu boleh dipandang rendah.

Ini kerana dalam tempoh tersebut, parti yang merupakan serpihan daripada Umno ini mempunyai dua pemimpinnya yang dilantik menjadi Perdana Menteri.

Pada masa sama, Bersatu juga berjaya menunjukkan prestasi boleh dikatakan agak cemerlang untuk parti yang masih berusia setahun jagung ketika dua Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Malah dalam PRU15 yang diadakan penghujung 2022, parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden itu berjaya memperolehi kerusi lebih banyak iaitu 49 kerusi berbanding seterunya Umno (26).

Bagaimanapun, beberapa perkembangan politik yang berlaku selepas PRU15 menyaksikan parti ini mula berdepan dengan beberapa isu yang berupaya mencabar kedudukanya untuk kekal relevan dalam politik negara.

1. Krisis kepimpinan

Pada Jumaat lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengeluarkan dakwaan bahawa partinya kini sedang terbahagi kepada dua kem.

Menurutnya, dua kumpulan tersebut terdiri daripada mereka yang menyokong kepimpinan Muhyiddin dan setiausaha agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Syed Abu Hussin berkata, perpecahan dari segi sokongan itu berlaku selepas terdapat sebahagian daripada ahli parti merasakan bahawa perlunya perubahan terhadap kepimpinan dan hala tuju parti.

Ketika dakwaan tersebut dilontarkan, turut tersebar pada masa sama adalah khabar angin mengenai kemungkinan Hamzah yang juga kini memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang bakal digantikan.

Tempat Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut sebagai Setiausaha Agung itu dikatakan bakal diisi oleh Datuk Seri Mohamed Azmin.

Bagaimanapun, kedua-dua dakwaan yang timbul itu dinafikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menerusi satu laporan media, bekas Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kenyataan dikeluarkan Syed Abu Hafiz itu dibuat hanya untuk mencetus sensasi.

Katanya, ini kerana Ahli Parlimen Bukit Gantang itu tidak pernah menyertai mana-mana mesyuarat kepimpinan tertinggi parti.

BACA LAGI: PAS, Bersatu harungi 'ujian keikhlasan' di PRK Kemaman

Home Minister Datuk Seri Hamzah Zainudin receiving a document from Thailand citizenship Muhamad Rosli Syamsuddin at the citizenship department during his visit to National Registration Department in Putrajaya. Monday 20 July 2020MOHD SAHAR MISNI/The Star

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Mengulas mengenai pertukaran jawatan di kepimpinan tinggi Bersatu, Ahmad Faizal berkata, perkara itu langsung tidak pernah dibincangkan di dalam mesyuarat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Beliau pada masa sama menambah bahawa keputusan untuk sebarang pelantikan itu adalah tertakluk kepada prerogatif atau kuasa presiden parti.

Perbincangan mengenai isu kepimpinan yang berlaku di dalam Bersatu bukanlah timbul tanpa sebarang sebab.

Ini kerana, selepas PRU15, ramai pihak mempersoalkan kebolehan pembangkang khususnya Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin dalam memainkan peranan semak dan imbang kepada Kerajaan.

Malah, PN juga disifatkan sebagai hilang punca dan kurang efektif ketika memberikan kritikan terhadap pelaksanaan dasar yang dikemukakan Kerajaan, apatah lagi untuk melontarkan idea alternatif.

Malah, isu berkenaan usaha pertukaran kerajaan dilihat lebih mendominasi dan menjadi perhatian untuk dimainkan pihak pembangkang.

Lebih membimbangkan, pada ketika ini, suara pembangkang dilihat lebih diwakili oleh ahlinya di peringkat bawahan dan bukannya dalam kalangan pimpinan tertinggi gabungan dan parti khususnya daripada Bersatu.

Sebagai parti yang dibarisi pemimpin dengan pengalaman mentadbir dalam kerajaan sebelum ini, pimpinan Bersatu sepatutnya menjadi antara yang suara yang terkehadapan memimpin pembangkang.

Situasi ini sekiranya terus dibiarkan pastinya merisaukan memandangkan Kerajaan ketika ini sedang mengumumkan beberapa dasar baharu yang cukup penting antaranya dalam isu ekonomi dan pentadbiran.

Antara yang cukup popular ketika ini tentunya mengenai pelaksanaan subsidi bersasar dan kajian terhadap sistem gaji penjawat awam yang menyaksikan kerajaan bakal menamatkan skim pencen persaraan golongan tersebut.

2. Enam Ahli Parlimen nyata sokongan terhadap PMX

Sementara itu, desas-desus mengenai dakwaan berlakunya krisis kepimpinan dalam Bersatu dikuatkan lagi dengan berita mengenai tindakan beberapa Ahli Parlimennya yang bertindak menyatakan sokongan terbuka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 24 Januari lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi yang wakil rakyat Bersatu terbaharu menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Ia sekali gus menjadikan secara keseluruhan terdapat enam ahli Parlimen daripada Bersatu yang berbuat demikian setakat ini.

Sebelum ini, lima ahli Parlimen terbabit yang terlebih dahulu berbuat demikian ialah Syed Abu Hussin, Zahari Kechik (Ahli Parlimen Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Ahli Parlimen Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Ahli Parlimen Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Ahli Parlimen Labuan).

Meskipun Bersatu mendakwa peralihan sokongan tersebut berlaku kerana ugutan dan ancaman daripada pihak kerajaan, ia bagaimanapun gagal untuk menutup kelemahan kepimpinan Bersatu untuk mengekalkan kesepaduan dalam kalangan ahlinya.

Pada masa sama, tindakan enam ahli Parlimen parti untuk mengalihkan sokongan itu juga secara langsung mengurangkan pengaruh Bersatu di Dewan Rakyat.

3. Dominasi PAS cetus ketidaktentuan kedudukan Bersatu dalam PN

Pada masa sama, tindakan enam ahli Parlimen Bersatu itu dilihat turut secara langsung menjejaskan kedudukan dan pengaruh parti itu di dalam PN.

Ini kerana walaupun parti itu ketika ini diberi ruang menerajui gabungan tersebut menerusi Muhyiddin yang memegang jawatan selaku pengerusi, realiti angka menunjukkan sebaliknya.

Di atas kertas, PAS yang merupakan parti komponen utama PN mempunyai jumlah kerusi lebih banyak iaitu 68 berbanding Bersatu (25) daripada keseluruhan 68 kerusi yang dikuasi gabungan berkenaan di Dewan Rakyat.

Pada masa sama, prestasi yang agak baik diperolehi PN dalam pilihan raya di enam negeri pada Ogos lalu juga tidak sepenuhnya memberikan keuntungan kepada Bersatu.

BACA LAGI: Ahli Parlimen Tanjong Karang jadi wakil Bersatu ke-6 sokong Anwar

2228775

Pada PRN di enam negeri Ogos lalu, PAS berjaya mengekalkan penguasaan di tiga negeri yang ditadbirnya. — Gambar hiasan

Dalam persaingan tersebut, PAS dilihat menjadi parti yang mendapat laba paling baik selepas keputusan diumumkan.

Ia selepas parti tersebut berjaya mengekalkan penguasaan di tiga tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu sekali gus meninggalkan Bersatu tanpa sebarang negeri untuk ditadbir.

Perkembangan tersebut pastinya akan menguatkan lagi dominasi PAS terhadap PN meskipun pimpinan gabungan itu ketika ini diterajui oleh pemimpin daripada Bersatu.

Pada masa sama, jawatan Perdana Menteri yang sebelum ini seakan-akan menjadi hak Bersatu sekiranya PN memenangi pilihan raya umum atau membentuk Kerajaan juga bukan lagi suatu jaminan.

Ini kerana PAS kini seakan-akan menunjukkan isyarat bahawa parti tersebut kini mempunyai cita-cita yang lebih besar.

Ia susulan keputusannya untuk meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Samsuri Mokhtar sebagai Ahli Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Untuk rekod, Ahmad Samsuri yang juga seorang teknokrat dicanang sebagai antara pemimpin yang berupaya untuk menjadi calon Perdana Menteri pada masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram