Siapa untung jika Akta Penggal Tetap Parlimen dilaksana?


  • Politik
  • Selasa, 16 Jan 2024

Akta Penggal Tetap Parlimen diperlukan bagi mengelakkan berulangnya peristiwa pergolakan politik yang pernah menyebabkan berlakunya tiga pertukaran kerajaan di dalam tempoh satu penggal. — Gambar hiasan/Bernama

PADA Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan cadangan agar satu rang undang-undang diwujudkan bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal.

Menurutnya, undang-undang tersebut diperlukan bagi mengelakkan berulangnya peristiwa pergolakan politik yang pernah menyebabkan berlakunya tiga pertukaran kerajaan dalam tempoh satu penggal.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Ahad berkata, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci berkenaan RUU yang dikenali sebagai Akta Parlimen Penggal Tetap itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, tujuan pelaksanaan akta tersebut secara dasarnya adalah bertujuan mengelakkan berlakunya spekulasi atau percaturan politik yang mampu menjejaskan kestabilan kerajaan.

Ini kerana menurutnya, akta itu akan menghalang Parlimen daripada dibubarkan secara sewenang-wenangnya sebelum sampai tempoh tamatnya.

"Jadi undang-undang ini boleh mengelakkan wujudnya spekulasi atau percaturan politik yang dilakukan demi kepentingan pihak tertentu antaranya dalam isu pembubaran Parlimen.

"Ini kerana kalau isu pembubaran Parlimen kerap dimainkan demi kepentingan sesetengah pihak, ia sebenarnya tidak beri kebaikan kepada rakyat.

"Jadi kalau kita dapat elakkan perkara ini, maknanya kerajaan itu boleh terus berkuasa sehingga tempoh lima tahun tamat. Dengan itu mereka boleh fokus kepada perancangan dan usaha pembangunan," katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, beliau yang juga pakar Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kewujudan akta tersebut tidak menjamin sepenuhnya kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya daripada ditumbangkan.

Ini kerana berdasarkan amalan dilaksanakan di Britain, terdapat dua cara yang membenarkan berlakunya perubahan kerajaan atau pembubaran Parlimen.

"Pertama, sesebuah kerajaan itu boleh jatuh dan Parlimen boleh dibubarkan jika Perdana Menteri tewas dengan undi tidak percaya di Parlimen.

"Satu lagi, Parlimen boleh dibubarkan sekiranya kerajaan itu sendiri mengambil keputusan untuk membubarkannya dengan syarat ia mendapat sokongan undi dua pertiga di Parlimen," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bersatu dakwa 10 ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan sokong PN

2416191

Pakar Perlembagaan UIAM, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Beliau turut menjelaskan bahawa di bawah akta tersebut, pertukaran terhadap jawatan Perdana Menteri juga dibenarkan sekiranya seseorang yang sudah dipilih itu hilang sokongan majoriti di Parlimen.

"Jadi itu di Britain. Tapi model yang kita nak buat saya tak pasti, sebab kerajaan pun boleh ikut model lain. Tapi yang jelasnya dalam sistem begini Perdana Menteri tidak tetap.

"Yang tetap adalah kerajaan. Perdana Menteri boleh diubah kalau hilang sokongan majoriti di Parlimen," ujarnya.

Untuk rekod, Akta Penggal Tetap Parlimen atau Fixed Term Parliament Act (FTPA) pernah dilaksanakan di Britain pada 2011.

Namun, ia kemudiannya dimansuhkan pada 2022, kira-kira selepas lebih 10 tahun ia diwartakan.

Menurut Nik Ahmad, situasi yang berlaku di Britain itu terjadi ekoran daripada kedudukan kekuatan parti kerajaan ketika itu yang dilihat tidak begitu kukuh.

"Jadi masalah timbul apabila parti kerajaan tidak kuat, namun mereka masih ada sokongan majoriti.

"Pada masa sama, mereka tidak boleh bubarkan Parlimen untuk bina kerajaan baharu kerana tidak cukup majoriti dua pertiga.

"Situasi itu menyukarkan kerajaan untuk mentadbir dengan efektif," katanya.

Akta Penggal Tetap Parlimen boleh cetus huru-hara kepada kerajaan

Dalam pada itu, bekas Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata, meskipun undang-undang sedemikian mempunyai kelebihan tersendiri, ia dilihat masih tidak sesuai untuk diamalkan di Malaysia.

Malah katanya, kewujudan akta tersebut dilihat bakal hanya mencetuskan huru-hara terhadap pentadbiran kerajaan yang terdiri daripada gabungan melibatkan parti komponen yang banyak.

"Bagi kerajaan yang memerintah dengan 21 gabungan parti, ia akan menjadi kucar-kacir. Ia akan menjadi masalah di sini..." katanya.

new cabinet meeting

Kewujudan Akta Penggal Tetap Parlimen tidak menjamin kerajaan yang dibentuk selepas proses demokrasi pilihan raya, dapat ditumbangkan. — Gambar hiasan

Zaid menambah, situasi politik di Malaysia ketika ini juga tidak sama seperti dengan negara yang sudah mengguna pakai akta tersebut seperti di Britain.

"Akta Penggal Tetap berjaya di Britain kerana terdapat wujudnya sebuah parti tunggal yang besar seperti Konservatif atau Buruh mengawal kerajaan.

"Jadi kejayaan itu bukan disebabkan wujudnya penggal tetap tetapi kerana kekuatan parti pemerintah," katanya dalam kenyataan yang ditujukan kepada Azalina.

BACA LAGI: Pengenalan Akta Penggal Tetap Parlimen boleh cetus huru-hara kepada kerajaan — Zaid Ibrahim

Zaid turut menjangkakan bahawa pelaksanaan akta tersebut hanya akan mewujudkan kestabilan politik yang dibuat-buat.

Mengulas mengenai ketidakstabilan mungkin berlaku ekoran pengenalan akta berkenaan, Zaid menjelaskan ia boleh terjadi kerana gabungan pemerintah ketika ini diterajui oleh parti yang kecil seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Jika anda mempunyai penggal tetap, tetapi kerana parti yang menerajui kerajaan (PKR) adalah kecil, akan berlaku pergelutan dalaman dalam gabungan itu.

"Perkara ini hanya akan menunggu masa (untuk berlaku). Kerajaan akan menjadi huru-hara, namun kita tidak boleh mengadakan pilihan raya kerana undang-undang penggal tetap," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram