KETIADAAN calon PAS bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau turun membantu parti itu untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Terengganu indikasi jelas mengenai ‘keikhlasan’ kerjasama gabungan itu.
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara itu juga, memberi gambaran sebenar tahap penghormatan calon PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada presiden parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, yang merupakan parti gabungan PAS dalam PN.
"Mereka sudah melihat keretakan dalam Bersatu dan tidak merasakan Bersatu boleh diharap. Maka sebab itu bagi dia pemimpin Bersatu bukannya satu pemimpin yang perlu dihormati,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi calon BN Tan Sri Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkempen pada Selasa.
Pada Isnin, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri hadir pada dua program di Kemamam, untuk membantu jentera kempen Ahmad Samsuri, namun begitu kelibat Menteri Besar Terengganu itu tidak kelihatan termasuklah pada acara ceramah perdana, walaupun pada awalnya diuar-uarkan beliau akan turut bersama.
Muhyiddin ketika menyampaikan Ceramah Perdana sempena kempen PRK P.040 Kemaman, di Kampung Baru Kerteh pada Isnin. — Bernama
Namun, bekas Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, perkara tersebut bukan suatu yang pelik, kerana sejarah PAS membuktikan bahawa parti itu hanya mempergunakan parti-parti yang bekerjasama dengannya, selagi ia menguntungkan.
Apatah lagi, katanya tindakan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan gambaran kepada pimpinan PAS bahawa Bersatu tidak boleh diharapkan lagi dan tidak perlu dihormati.
"Ini yang berlaku dengan Semangat 46 dan DAP. Mereka juga pernah bersama Umno, tapi apabila mereka rasa tak boleh guna, mereka ketepikan. Ini juga akan berlaku kepada Bersatu,” katanya.
Sepanjang tempoh kempen PRK Kemaman yang masuk hari ke-11 pada Selasa juga memperlihatkan kelibat Ahmad Samsuri yang jarang kelihatan, bertemu dan berkempen dengan para pengundi.
Mengulas mengenainya, Shabery berkata, ia terserah pengundi untuk mempertimbangkannya sendiri, sama ada mereka mahu diwakili Ahli Parlimen yang sukar ditemui.
"Jika sebelum diberikan mandat sebagai Ahli Parlimen sekalipun Ahmad Samsuri sudah sukar ditemui atas alasan sibuk melakukan tugas rasmi, apatah lagi sekiranya beliau menang nanti.
"Kalau orang yang memang dia tidak tunjuk muka, selepas ini lagi dia tidak akan tunjuk muka dan dia tidak akan peduli (kepada pengundi),” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram