[VIDEO] Polis jumpa rangka manusia di rumah lama Bella di Batu Pahat


  • 112
  • Jumaat, 19 Jan 2024

Sepasukan unit forensik polis Johor ketika di kediaman lama Bella di Batu Pahat pada Jumaat.

POLIS menemui rangka manusia dipercayai milik ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah atau Bella yang dilaporkan hilang lebih sebulan lalu di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat, Johor pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek utama kes itu membawa polis ke lokasi penemuan mayat pada kira-kira pukul 2 petang Jumaat.

“Kami menemui sisa rangka manusia yang tidak lengkap dan beberapa pakaian bertaburan di sekitar kawasan itu.

"Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk kita mengesahkan mayat yang ditemui itu benar-benar milik Bella. Kita perlu menunggu analisis DNA. Rekod pergigian juga akan digunakan," katanya dalam sidang media di lokasi pada Jumaat.

BACA LAGI: 'Eloklah jaga tepi kain sendiri', Lan Solo ulas isu anaknya dikecam

Kamarul Zaman berkata, ia mungkin mengambil masa antara seminggu dan sebulan untuk keputusan ujian.

"Keluarga Bella sudah dimaklumkan mengenai perkara ini, namun kita belum dapat mengesahkan sama ada ia rangka itu milik wanita terbabit," katanya.

Tambahnya, jika mayat itu didapati mayat Bella, suspek terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada masa ini, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 365 kanun sama kerana menculik.

Sebelum ini, ibu tunggal kepada dua anak itu dilaporkan hilang selepas tidak dapat dihubungi pada 14 Disember tahun lalu.

Dua laporan polis telah dibuat oleh ahli keluarganya pada 16 Disember dan 18 Disember tahun lalu.

Bella dikatakan berada di dalam kereta teman lelakinya pada pukul 11.50 malam dan memakai pakaian batik untuk pergi ke kedai dobi berhampiran sebelum dipercayai hilang.

Seorang lelaki berusia 24 tahun, dipercayai teman lelaki Bella, adalah antara tiga orang yang ditahan berhubung kes itu. — The Star/VENESA DEVI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram