[VIDEO] Cara urus rangka manusia sama seperti jenazah sempurna, Mufti Kelantan ulas kes Bella


  • Mukmin
  • Isnin, 22 Jan 2024

Sepasukan unit forensik polis Johor berada di kediaman lama Bella susulan penemuan rangka manusia di Batu Pahat pada Jumaat lepas.

RAMAI warganet mempersoalkan tentang cara pengurusan jenazah biasa dengan jenazah yang tidak sempurna seperti rangka manusia.

Isu ini timbul sejak penemuan rangka manusia dipercayai milik ibu tunggal yang hilang sebulan lalu, Mira Sharmila Samsusah atau dikenali sebagai Bella di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkak Pecah, Batu Pahat, Johor.

Menjelaskan isu ini, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, penemuan rangka tersebut perlu diuruskan sama seperti jenazah yang sempurna sekiranya ia milik individu beragama Islam.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis jumpa rangka manusia di rumah lama Bella di Batu Pahat

Pengurusan jenazah orang Islam tertakluk kepada empat rukun iaitu memandikan jenazah, mengkafan, solat dan kebumi.

Mohamad Shukri berkata, meskipun rangka yang ditemui itu tidak lengkap, penyempurnaannya sama seperti jenazah yang lengkap iaitu perlu dimandikan sehinggalah rangka tersebut dikebumikan.

"Kalau kita jumpa rangka sahaja, maka kita mandikanlah tulang-tulang setakat yang ada sahaja.

"Kalau jenazah dalam keadaan sempurna adalah wajib melakukan keempat-empat rukun berkenaan.

"Namun jika keadaan jenazah tidak sempurna, maka dalam Islam boleh dibuat pengecualian supaya tidak merosakkan jenazah," katanya kepada Majoriti.

Pada Sabtu lalu, bedah siasat ke atas rangka manusia tidak sempurna itu sudah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, Johor.

Sampel patologi dari Jabatan Forensik itu telah dibawa ke Jabatan Kimia untuk dianalisa bagi membuat perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan mengenal pasti identiti rangka tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram