HATI kakak mana yang tidak sayu apabila menerima berita adik tersayang dibunuh dengan kejam dan mayat ditemui dalam keadaan tidak sempurna.
Kakak Allahyarhamah Bella, Norisham Samsusah, 36, membuat satu hantaran pilu di laman Facebook peribadinya selepas polis mengesahkan keputusan analisis DNA pada rangka manusia yang ditemui di sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat, Johor pada Isnin.
"Kehilangan paling berat. Dukacita saya maklumkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mgesahkan rangka itu milik Bella.
"Berat dugaan kami sekeluarga. Esok (Rabu) jenazah akan dituntut di Hospital Sultan Ismail pagi dan dibawa pulang ke Batu Pahat.
"Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Dato Bentara dan dikebumikan di Tanah perkuburan Banang.
"Mohon semua kenalan, kawan, sahabat dan semua warga Batu Pahat untuk datang sembahyangkan (arwah) Bella buat kali terakhir.
"Saya tahu tanpa doa, usaha dan ikhtiar daripada semua, takkan saya dapat jumpa Bella," tulisnya.
Norisham turut berjanji akan mencari keadilan buat kematian adiknya itu.
"Selamat tinggal Bella, aku sayang sangat pada kau.
"Aku akan tuntut keadilan atas pemergian kau. Sepatutnya kita masih bersama-sama kan," katanya.
Terdahulu, media melaporkan rangka manusia yang ditemui di sebuah rumah terbiar di Jalan Imam Jailani, Tongkang Pechah dekat Batu Pahat, Johor Jumaat lalu sah milik Bella.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, polis mengesahkan ujian DNA ke atas rangka mangsa milik Mira Sharmila Samsusah, 32. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram