Mirzan diminta bagi bukti untuk dakwa saya — Tun M


  • Politik
  • Isnin, 22 Jan 2024

MAHATHIR berkata, Mirzan tidak dimaklumkan mengenai bentuk pendakwaan yang bakal dikenakan terhadapnya.

TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa siasatan dijalankan terhadap anaknya, Mirzan dilakukan bertujuan bagi mencari bukti berhubung tuduhan salah laku ketika tempohnya menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, tindakan itu juga dibuat bagi membolehkan pendakwaan dapat dijalankan terhadap dirinya.

Bagaimanapun, Mahathir berkata, Mirzan tidak dimaklumkan mengenai bentuk pendakwaan yang bakal dikenakan terhadapnya.

Mahathir turut mendakwa siasatan tersebut dilakukan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal membuktikan beliau membolot harta untuk kepentingan diri ketika menjadi Perdana Menteri bermula sejak 1981.

"Tapi apa yang dia buat, saya dengar dia suruh anak saya bagi bukti supaya saya boleh didakwa.

"Daripada 1981 sampai sekarang. Semua dokumen selama 42 tahun dan nak kena bagi dalam tempoh 30 hari. Kalau lebih boleh kena hukum masuk penjara lima tahun," katanya.

BACA LAGI: SPRM panggil Mirzan Mahathir bantu siasatan, beri 30 hari untuk isytihar harta

2498253

Mirzan Mahathir.

BACA LAGI: 'Dah isytihar harta banyak kali, tapi Anwar tak mampu buktikan saya salah guna kuasa' — Tun M

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan pada Isnin.

Pada minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah menyerahkan perintah notis kepada Mirzan untuk mengisytiharkan aset dalam tempoh 30 hari.

Menurut badan pencegahan rasuah itu, perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan mereka berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaan Mirzan yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan terbabit dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Dalam pada itu, Mahathir turut menyanggah kenyataan Anwar yang mendakwa menghadapi kesukaran untuk melakukan pendakwaan terhadap individu berprofil tinggi berpangkat Tun.

Malah, beliau juga menegaskan bersedia untuk disiasat sekiranya terdapat sebarang bentuk pendakwaan terhadapnya.

"Kerajaan ada kuasa, anda boleh lakukan (siasatan) dan saya bersedia untuk disiasat.

"Nak tengok akaun saya pun boleh Bank mana (nak tengok) pun boleh bagitahu. Nak tuduh saya tak bayar hasil (cukai) pun Kerajaan boleh dapatkan akses (dari Lembaga Hasil Dalam Negeri).

"...Boleh siasat saya kononnya ada duit berbilion," katanya.

Mahathir turut mendakwa beberapa pendakwaan dilakukan di bawah pentadbiran Anwar ketika ini adalah bersifat terpilih melibatkan pihak tertentu yang tidak menyokong Kerajaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram