Kerajaan perlu ratifikasi Statut Rom untuk bantu Palestin? Ini jawapan Pakar Perlembagaan


  • Massa
  • Rabu, 17 Jan 2024

Pada 2019, kerajaan PH di bawah pimpinan Mahathir membuat keputusan menarik diri daripada Statut Rom ICC ekoran desakan daripada dalam negara. — Agensi

SELEPAS hampir empat tahun senyap, isu ratifikasi terhadap Statut Rom kembali timbul dalam perbincangan awam di Malaysia.

Untuk rekod, kali terakhir perjanjian tersebut menjadi berita utama di dalam negara adalah pada April 2019.

Pada ketika itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Perkembangan itu menyaksikan Malaysia membuat pusingan U dengan menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC selepas menandatanganinya kira-kira sebulan sebelumnya iaitu pada Mac.

Mengulas mengenai keputusan tersebut, Mahathir dilaporkan berkata, langkah itu diambil kerana terdapat cubaan pihak tertentu yang mempolitikkan isu tersebut bagi memberi gambaran buruk terhadap Kerajaan.

Ujarnya, usaha tersebut turut melibatkan cubaan mengheret institusi Raja untuk menentang kerajaan kerana didakwa kononnnya mahu menyerahkan kuasa kepada negara luar dan menghakis hak serta kekebalan Raja-Raja Melayu.

Sementara itu, dalam perbincangan terbaharu mengenai perkara tersebut, Majlis Peguam Malaysia pada Isnin meminta Kerajaan supaya mempertimbangkan pendiriannya dalam isu meratifikasi Statut Rom.

Malaysian Bar president Karen Cheah Yee Lynn answering questions from members of media during the press conference after their EGM at Wisma MCA yesterday. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah

Presidennya, Karen Cheah berkata, langkah itu perlu dibuat lebih-lebih lagi susulan perkembangan semasa yang menyaksikan berlakunya krisis kemanusiaan di Gaza Palestin.

Menurut beliau, langkah pembatalan perjanjian tersebut yang dibuat Kerajaan sebelum ini dibuat kerana 'kebimbangan yang salah'.

Mengulas mengenai cadangan tersebut, pakar Perlembagaan, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain bagaimanapun berkata, Kerajaan tidak sewajarnya meratifikasi perjanjian tersebut semata-mata kerana mahu memberikan sokongan dalam isu Palestin.

Ini kerana menurutnya, terdapat pelbagai lagi cara lain yang boleh digunakan oleh pentadbiran negara untuk membantu mendapatkan keadilan buat Palestin.

Tambahan pula, beliau berkata, pada ketika ini terdapat negara di bawah Statut Rom yang sudah memfailkan tindakan ke atas Israel di bawah di ICJ.

"Negara yang menjadi ahli Statut Rom dah failkan tindakn di ICJ dan negara ahli lain boleh turut serta.

"Malaysia sudah banyak memberi sokongan kepada palestin dan rakyatnya. Tak wajar komitmen kerajaan membantu Palestin dianggap berkurang semata-mata kerana kita tidak meratifikasi Statut Rom.

"Banyak cara lain jika kita berhasrat bantu rakyat Palestin. Prosiding di ICJ sudah berjalan, dan kita lihat bagaimana ICJ menjadi medan yang benar-benar efektif," katanya kepada Majoriti.

A view of damaged buildings in Gaza, amid the ongoing conflict between Israel and Palestinian Islamist group Hamas, as seen from southern Israel, November 4, 2023. REUTERS/Evelyn Hockstein

Wan Ahmad berkata, terdapat pelbagai lagi cara lain yang boleh digunakan oleh pentadbiran negara untuk membantu mendapatkan keadilan buat Palestin.

Pada 11 Januari lalu, Afrika Selatan mengheret Israel ke ICJ selepas rejim Zionis itu didakwa mendalangi tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Dalam penghujahan setebal 84 muka surat kepada ICJ, Afrika Selatan menggesa hakim supaya memerintahkan Israel menggantung serta-merta operasi ketenteraannya di Gaza.

Menurut data Kementerian Kesihatan Gaza, serangan tentera Israel ke atas wilayah berkenaan yang bermula 7 Oktober lalu, membunuh sekurang-kurangnya 22,722 orang.

PBB menganggarkan sebanyak 1.9 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dengan kebimbangan semakin meluap-luap akan berlaku krisis kebuluran dan penyakit.

Wan Ahmad Fauzi berkata, daripada segi perundangannya, terdapat pelbagai cara lain boleh digunakan Kerajaan termasuk dalam membantu rakyat Palestin di dalam negara.

"Kerajaan mungkin boleh memberikan PR (status penduduk tetap) atau dengan jalan alternatif melalui pemberian visa kepada warganegara Palestin yang berada di Malaysia.

"Ini kerana ramai (pelarian Palestin) yg sudah berada di Malaysia menghadapi pelbagai rintangan kerana mereka hanya ada kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, secara asasnya, penyertaan sesebuah negara di bawah Statut Rom akan membolehkan mereka untuk memfailkan tindakan terhadap negara ahlinya yang lain.

"Jika kita tidak sertai pun, ahli lain di bawah Statut Rom boleh failkan (tindakan). Tapi isunya di sini adalah, adakah Israel terikat dengan keputusan ICJ?

"Ini kerana Israel bukan ahli Statut Rom. Jadi berkemungkinan akhirnya yang perlu campur tangan untuk halang keganasan Zionis Israel ini adalah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," ujarnya.

2416193

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain. Bernama

Dalam isu meratifikasi perjanjian tersebut, Wan Ahmad Fauzi berkata, keutamaan harus diberikan terhadap usaha bagi mempertahankan dan melindungi kedaulatan serta Perlembagaan negara.

Ini kerana menurutnya, beberapa perjanjian antarabangsa termasuk Statut Rom didapati bercanggah dengan Perlembagaan.

"Banyak nilai yang tidak sesuai dengan jati diri kita akan dibawa masuk melalui statut ini," ujarnya.

Ujarnya, antara ciri Perlembagaan yang bakal terjejas sekiranya negara meratifikasi Statut Rom adalah kedudukan Islam dan keistimewaan orang Melayu, penguatkuasaan perundangan berlandaskan syariah serta bidang kuasa perundangan Yang di-Pertuan Agong.

"Pada masa sama, banyak perkara dalam Perlembagaan dipertikai dan doktrin asing di bawa dari pintu belakang.

"Saya berharap kerajaan perlu sensitif utk memelihara kesejahteraan negara daripada melayan kumpulan tertentu yang rakus mencabar jati diri negara bangsa Malaysia yang bersusur galir daripada watan kita," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram