MAJLIS Peguam Malaysia meminta kerajaan untuk menimbang semula pendiriannya dan meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) susulan perkembangan semasa krisis kemanusiaan di Gaza, Palestin.
Presidennya, Karen Cheah berkata, Malaysia sebelum ini sudah menandatangani Statut Rom, namun membatalkan pengesahannya kerana 'kebimbangan yang salah'.
“Pada 2019, Malaysia menandatangani Statut Rom, tetapi membuat pusingan U kerana wujud kebimbangan yang salah ditimbulkan bahawa ia akan menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu kita.
“Salah faham boleh dielakkan dengan komunikasi dua hala, melalui perundingan yang betul,” katanya ketika berucap pada Pembukaan Tahun Undang-undang 2024 di Putrajaya, pada Isnin.
Terdapat empat jenayah antarabangsa berada di bawah bidang kuasa Statut Rom iaitu pembunuhan beramai-ramai, jenayah ke atas kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pelanggaran tanggungjawab antarabangsa.
Statut terbabit mewakili instrumen penting dalam usaha global untuk mempertanggungjawabkan pelaku jenayah perang.
Dalam pada itu, Cheah berkata, pihaknya turut bersolidariti dengan Majlis Peguam Palestin yang telah menghubungi Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan sokongan.
“Majlis Peguam Malaysia ingin mengisytiharkan bahawa kita berganding bahu dengan saudara-saudara kita di Palestin, dan menyokong penuh prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)," ujarnya.
Pada 5 April 2019, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat.
Malaysia sebelum itu pada mulanya telah bersetuju dengan Statut Rom pada 4 Mac 2019.
Dr Mahathir kemudian berkata, sesetengah individu mendakwa penerimaan terhadap Statut Rom bakal menyebabkan Malaysia kehilangan kedaulatannya untuk menggubal dasar dan undang-undangnya sendiri. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram