'Dah isytihar harta banyak kali, tapi Anwar tak mampu buktikan saya salah guna kuasa' — Tun M


  • Politik
  • Isnin, 15 Mei 2023

Dr Mahathir (kiri) memfailkan saman fitnah RM150 juta terhadap Anwar berhubung ucapan yang dibuatnya semasa acara pada Mac, yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook Anwar dan PKR serta saluran YouTube.

TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau telah membuat pengisytiharan harta beberapa kali sebelum ini ketika menjadi perdana menteri dan ia sudah menjadi pengetahuan umum.

Namun begitu, bekas ahli Parlimen Langkawi itu berkata, di sebalik pengisytiharan yang dibuat itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak mampu untuk menunjukkan bukti beliau menyalahgunakan kuasa semasa menjadi perdana menteri untuk kepentingan peribadi.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk mengisytiharkan hartanya kerana tiada sebarang perkara yang ingin disembunyikannya.

"Yang jadi masalah ialah Anwar telah beberapa kali tuduh saya salah guna kedudukan semasa saya jadi Perdana Menteri untuk kayakan diri saya dan keluarga saya.

"Saya juga dituduh memiliki wang berbilion ringgit, kapal terbang dan kapal. Kononnya semua orang tahu," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Susulan daripada itu, Dr Mahathir berkata, beliau telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Anwar atas tuduhan tersebut.

"Maka saya ulang sekali lagi, tunjuklah bukti yang saya salah guna kuasa untuk kayakan diri saya dan keluarga.

"Setakat cakap di atas pentas politik tanpa ada bukti ini siapa pun boleh buat. Mereka ini digelar 'mat retorik'," ujarnya.

Pada 3 Mei lalu, Dr Mahathir memfailkan saman fitnah RM150 juta terhadap Anwar berhubung ucapan yang dibuatnya semasa acara pada Mac, yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook Anwar dan PKR serta saluran YouTube.

Dr Mahathir mendakwa Anwar telah menyinggungnya dalam ucapan itu apabila merujuk kepada 'orang yang berkuasa selama 22 tahun dan 22 bulan'.

Beliau berkata, kenyataan Anwar yang merupakan Perdana Menteri, mempunyai kesan yang jauh lebih dahsyat berbanding individu lain di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram