'Ke mana berbilion dana kerajaan salur?', ibu bapa sekolah daif di Sabah kumpul RM1 seorang beli kipas bilik darjah


  • Massa
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Tangkap layar hantaran di laman X Shahrizal pada Isnin berhubung keaadan daif sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah.

ISU sekolah daif khususnya di kawasan pedalaman merupakan satu masalah yang seakan-akan tiada berpenghujung.

Meskipun kerajaan silih berganti, namun situasi getir terpaksa dihadapi bukan sahaja murid tetapi juga tenaga pengajar di kawasan terbabit dilihat masih tidak berubah.

Isu ini juga didapati lebih meruncing terutamanya di negeri seperti Sabah yang mempunyai banyak kawasan pedalaman yang masih belum membangun.

Terbaharu, hal yang sama turut dibangkitkan Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Shahrizal Denci yang berkongsikan gambar situasi daif sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah.

Gambar yang diambil daripada sebuah laporan media tempatan pada Khamis lalu itu itu memaparkan keadaan siling di dalam bilik darjah yang kelihatan tidak diselenggara dengan baik.

Ia turut menimbulkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan murid yang ketika itu didapati tetap menggunakan kelas terbabit.

Pada masa sama, bilik darjah berkenaan juga difahamkan memerlukan kipas baharu untuk memastikan keselesaan murid ketika sesi pembelajaran.

"Ini di SK (Sekolah Kebangsaan) Darau yang hanya 15 minit dari Kota Kinabalu. Ibu bapa kumpul RM 1 seorang untuk beli kipas baharu. Kementerian Pendidikan di bawah kuasa Persekutuan.

"Persoalan saya, sampai bila Sabah terus didiskriminasi? Rakyat Sabah, bangunlah!" tulis Sharizal yang juga seorang petani di laman X miliknya pada Sabtu.

BACA LAGI: Segera perbaiki sekolah daif seluruh negara — PM

Setakat laporan ini ditulis, hantaran tersebut sudah mendapat lebih 89,000 view, 341 ciapan semula dan 506 tanda suka.

Di ruangan komen, terdapat warganet yang bersetuju dengan isu yang dibangkitkan itu dan turut mempersoalkan mengenai keberkesanan dana disalurkan Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu tersebut.

"Rasanya dah berbilion Kerajaan Persekutuan salurkan. Ke manakah dana itu?" soal ZakiZacky85.

Untuk rekod, Kerajaan melalui Belanjawan 2024 Malaysia Madani menyediakan RM1.9 bilion untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara.

BACA LAGI: Kerajaan peruntuk RM1.9 bilion naik taraf, selenggara sekolah di seluruh negara

Daripada jumlah tersebut, RM930 juta akan digunakan bagi kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 sekolah melibatkan 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.

Pada masa sama, terdapat segelintir netizen berpandangan bahawa kemarahan dan aduan berkenaan isu tersebut perlu disalurkan kepada pihak yang sepatutnya.

"Benda macam ini tak tanya PPD ke? Takkan semua benda kau nak suruh tanya Menteri Pendidikan," tulis SHAMMIM14.

"Rakyat Sabah, bangunlah pergi tanya pada jabatan negeri ke mana pergi duit dari peruntukan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia). Jabatan pendidikan negeri atau daerah di sabah semua kena keluarkan statement berkenaan dana yang dibelanjakan kerajaan.

"Kalau duit masuk, pergi ke mana. Kalau duit tak masuk, juga ke mana?" ujar _azangg.

"Salahkan Ahli Parlimen dan orang tempatan dahulu. Wakil orang tempatan bila rakyat tanya mana duit, alasan Kerajaan Persekutuan tak bagi, mereka guna ayat itu untuk tunggang (perdaya pengundi)," tulis drnotak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram