PENANTIAN lebih lapan tahun seorang guru berasal dari Semenanjung di Sekolah Kebangsaan Ulu Ansuan, Telupid, Sabah untuk mendiami sebuah rumah guru yang selesa akhirnya menjadi kenyataan Isnin lepas atas keprihatinan Kerajaan Perpaduan.
Muhd Fareed Fuzi Awang, 35, guru prasekolah sekolah berkenaan yang berasal dari Kulim, Kedah, berkata, dengan adanya rumah guru baharu itu, beliau tidak lagi mengalami masalah kebocoran siling rumah dengan air menitis masuk menerusi bumbung setiap kali hujan lebat serta membasahi rumah daif yang didiaminya itu.
"Saya bersyukur dengan apa yang sudah diberikan (sediakan) oleh Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu sebuah rumah. Bolehlah memberikan kami (guru) sedikit motivasi untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang dan lebih lama di SK Ulu Ansuan, Telupid.
"Saya bersyukur dengan apa yang saya dapat. Lapan tahun saya menanti. Tetapi sebelum ini pun, banyak pula guru yang lagi susah, terpaksa tinggal di rumah bambu. Tetapi rumah bambu itu sudah tiada," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolah itu.
Demi cinta terhadap profesion keguruan, Muhd Fareed percaya ada sekolah terutama di pedalaman yang mengalami kesusahan lebih teruk dan beliau berharap isu yang ditonjolkan SK Ulu Ansuan itu akan membuka mata semua pihak terhadap masalah sama yang mungkin turut dihadapi sekolah lain.
Baru-baru ini media melaporkan Guru Besar SK Ulu Ansuan George Odol yang akan bersara wajib pada 27 November ini, tinggal di dalam sebuah stor prasekolah selama lebih tiga tahun, untuk meneruskan perjuangannya mendidik anak bangsa.
Sekolah yang mula beroperasi pada tahun 2000 itu pada awalnya tidak mempunyai kemudahan rumah guru, namun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta guru sekolah itu antara lain mengambil inisiatif membina rumah panjang lima pintu tersebut, namun ia dalam keadaan daif sebelum usaha tambah baik itu dilaksanakan dengan kos RM200,000 melalui Perancangan Pembangunan Infrastruktur (Perapi) di bawah Sektor Perancangan KPM.
Rumah yang ditambah baik itu berkonsepkan rumah studio, dilengkapi sebuah dapur dan tandas serta kamar mandi yang sempurna.
Guru lain yang turut terlibat dengan inisiatif membina rumah panjang itu pada 2015 ialah Vivien Lodin 36, berasal dari Ranau. Beliau juga pernah tinggal di stor prasekolah itu sebelum George ditugaskan di sekolah berkenaan pada 2020.
"Saya tinggal di stor itu bersama kerani dan Pembantu Pengurusan Murid prasekolah. Tetapi disebabkan stor itu agak sempit, pada Jun 2015, kami mengeluarkan duit masing-masing sebanyak RM7,000 untuk membina rumah panjang, sebelum ia ditambah baik," katanya.
Sebelum berpindah ke rumah yang ditambah baik bersaiz 3.6m x 4.8m itu, Vivien dan rakan guru terpaksa menginap sementara di dalam kelas, manakala kelas dijalankan di bawah kanopi di padang sekolah.
Meskipun menghadapi cabaran sedemikian, Vivien tetap ikhlas dan berusaha mengajar dan mendidik murid di sekolah pedalaman itu.
Berbeza dengan Muhd Fareed dan Vivien yang tidak mempunyai keluarga, Keneddy Gurongot, 43, yang berasal dari Tuaran, pula bertugas dan tinggal di SK Ulu Ansuan bersama sepasang anaknya berumur 12 dan lapan tahun yang bersekolah di situ.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau telah tinggal di rumah daif di sekolah itu selama 18 tahun sebelum berpindah ke rumah yang dinaik taraf manakala isterinya tinggal di Tuaran bersama anak sulungnya yang merupakan Orang Kurang Upaya yang bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas di Tuaran.
"Saya memang orang kampung dan biasa tinggal dalam keadaan begini. Bagi saya 'biasa-biasa' saja. Tetapi yang saya rasa bertuah dapat bertugas di Sabah ialah saya berjaya melahirkan ramai pelajar yang berjaya masuk ke universiti," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram