Isu bekalan air UMS: Pembinaan 4 telaga tiub sudah dimulakan — Mustapha


  • Primer
  • Sabtu, 20 Jan 2024

Mustapha ketika menghadiri majlis Tahun Baharu Cina di Inanam, Kota Kinabalu, pada Sabtu.

KERJA bagi pembinaan empat daripada enam telaga tiub untuk mengurangkan masalah bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sudah dimulakan, kata Datuk Mustapha Sakmud.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, dua kontraktor yang terlibat dalam melaksanakan pembinaan itu telah memulakan penggerudian minggu ini di empat lokasi yang dikenal pasti untuk telaga tiub itu.

“Kerja-kerja menggerudi empat telaga tiub sedang giat dilakukan,” katanya selepas menghadiri majlis Tahun Baharu Cina di Inanam, Kota Kinabalu, pada Sabtu.

Mustapha berkata, Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan di bawah Jabatan Perdana Menteri juga sudah melakukan lawatan di tapak telaga tiub berkenaan.

Ahli Parlimen Sepanggar itu menambah, perkembangan semasa mengenai kerja pembinaan kemudahan tersebut akan dikemas kini secara mingguan.

Isu bekalan air di UMS mendapat perhatian masyarakat apabila video pelajarnya membuat bantahan kecil bagi menyuarakan kekecewaan mereka terhadap masalah tersebut ketika lawatan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di kampus berkenaan pada 8 Januari lalu, tular.

BACA LAGI: Masalah air di UMS masih belum selesai, LRA Telibong 2 Fasa 2 antara jawapan atasi krisis berpanjangan

2484701

Kumpulan pelajar UMS yang membuat bantahan kecil ketika lawatan Zambry pada 8 Januari lalu. — The Star

BACA LAGI: [VIDEO] UMS sahkan tangki air kolej KKTPAR tercemar, tak jejas sumber air utama pelajar

Zambry kemudian mengumumkan bahawa UMS akan menerima tambahan RM2 juta untuk melaksanakan projek jangka pendek bagi mengurangkan masalah bekalan air di kampusnya.

Itu merupakan tambahan kepada peruntukan RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membiayai projek inovasi bekalan sumber air dalaman di UMS pada Mei lepas.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Md Mansur berkata, RM3 juta yang diperuntukkan kepada universiti itu digunakan sewajarnya, sambil menambah ia bertujuan untuk membina enam telaga tiub dan sistem paip baharu.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai projek itu, Mustapha berkata, kontraktor diminta menyelesaikan kerja tersebut menjelang Mac ini bagi memastikan pelajar mendapat sumber air alternatif selain bekalan daripada Jabatan Air Sabah.

“Bagaimanapun, saya mesti tegaskan projek telaga tiub itu hanya jangka pendek memandangkan kerajaan negeri dan jabatan air sedang mengusahakan isu bekalan air (keseluruhan Sabah), khususnya di Kota Kinabalu.

“Justeru, bekalan di UMS bergantung kepada air daripada jabatan air, dan atas sebab itu, kita berharap jabatan dan Kementerian Kerja Raya negeri dapat menyegerakan kerja menstabilkan keadaan bekalan air tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Mustapha menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) agar memberi perhatian kepada sekolah usang di kawasan Sepanggar.

Beliau berkata, sebanyak 12 sekolah rendah telah dikenal pasti berada dalam keadaan usang, menyebabkan ia tidak lagi selamat, dan memerlukan pembaikan segera.

“Sebelum ini kita pernah melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Darau yang juga uzur dan kementerian telah bertindak balas mengenai perkara ini, namun terdapat 12 lagi sekolah dalam keadaan yang sama di Sepanggar yang perlu diberi perhatian,” katanya. — The Star/DURIE RAINER FONG

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram