Pelajar Tingkatan 3 menyamar polis, 'scam' duit Tabung Haji ibu untuk joli hingga ke Genting Highland


  • 112
  • Khamis, 18 Jan 2024

Suspek dikatakan menyamar sebagai anggota polis Melaka sebelum memperdayakan mangsa. — Gambar hiasan/IPD Alor Gajah

SEORANG pelajar Tingkatan Tiga bertindak menipu ibunya berusia 58 tahun apabila mendakwa dicekup polis sebelum menuntut wang sebanyak RM25,000 di Melaka baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pelajar lelaki berusia 15 tahun itu dan dua lagi suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka pada Jumaat.

BACA LAGI : 'Scammer Baling,' gadis 23 tahun dituduh bawa lari duit RM10 juta

Beliau berkata, pelajar Tingkatan Tiga itu telah melakukan penipuan bersama dua rakannya yang berusia 29 dan 17 tahun.

“Ketiga-tiga mereka menipu mangsa dengan memberitahu polis Seremban telah menahan anaknya atas kesalahan jenayah pada 27 November tahun lalu.

“Mereka kemudian memberitahu mangsa yang merupakan pembantu klinik bahawa perlu membayar wang untuk membebaskan anaknya,” katanya pada Khamis.

Lebih menyedihkan wang hasil penipuan licik itu adalah daripada simpanan Tabung Haji wanita terbabit dan dikatakan habis dibelanjakan oleh ketiga-tiga suspek untuk berjoli termasuk di Genting Highland.

Arshad berkata, mangsa memutuskan untuk membayar kepada salah seorang suspek yang menyamar sebagai pegawai polis di Masjid Tanah, Melaka untuk membebaskan anaknya.

Katanya, anak lelakinya pulang ke rumah pada 30 November tahun lepas selepas jumlah wang diserahkan kepada suspek.

BACA LAGI : Guru kena tipu depan-depan, duit lesap beribu-ribu lepas pencuri tukar kad ATM

Beliau berkata, mangsa kemudian menghubungi polis Seremban dan diberitahu tiada tangkapan dibuat ke atas anaknya sebelum kemudiannya membuat laporan polis.

Tambahnya, siasatan mendapati, terdapat tiga suspek terlibat dalam kes itu.

“Seorang lagi suspek remaja adalah rakan sekolah kepada anak mangsa.

"Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu," katanya. — The Star/RSN MURALI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram