[VIDEO] Guru kena tipu depan-depan, duit lesap beribu-ribu lepas pencuri tukar kad ATM


  • Benua
  • Rabu, 17 Jan 2024

Tangkap layar kejadian seorang penjenayah berpura-pura membantu mangsa sebelum menukar kad ATM dengan kad lain dan mencuri wang miliknya.

SEORANG guru mengalami nasib malang selepas duitnya lesap akibat menjadi mangsa kecurian kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang terjadi di sebuah bank di Jalan Imam Bonjol, Langkapura, Bandar Lampung, Indonesia pada Sabtu lalu.

Kejadian itu dapat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dengan rakaman itu menunjukkan beberapa orang sedang beratur di mesin ATM untuk mengeluarkan wang.

Kelihatan sekumpulan pencuri terdiri daripada lebih dua orang berada di dalam bank yang mana mereka beratur di belakang mangsa, Niken Septiarini untuk melakukan modus operandi sekatan kad ATM.

BACA LAGI: Golongan budak U lebih berisiko terjerumus ke 'lembah' obesiti

Difahamkan, salah seorang pelaku berpura-pura melakukan transaksi dengan memasukkan kad ke dalam mesin ATM manakala seorang lagi rakan jenayahnya membantu memerhatikan keadaan sekeliling.

Ketika mangsa mahu mengeluarkan wang di mesin ATM, secara tiba-tiba kad miliknya tersangkut dalam mesin dipercayai akibat perbuatan pelaku yang disyaki menyekat mesin tersebut.

Melihat keadaan mangsa yang panik, pelaku berpura-pura membantu mangsa dan berjaya mengeluarkan kad itu sebelum menukar kad bank tersebut dan menyerahkannya kepada mangsa.

Selepas pulang ke rumah, mangsa yang tidak menyedari hal itu terkejut apabila menerima mesej daripada pihak bank dengan pemberitahuan bahawa transaksi pengeluaran sebanyak 14 juta rupiah (RM4,202.16) telah dibuat menerusi akaun banknya.

Dengan pantas, mangsa terus bertindak melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bandar Lampung, Pesuruhjaya Polis, Dennis Arya Putra berkata, pelaku kini sedang diburu oleh pihak polis.

“Doakan agar pelaku yang menyekat kad mesin ATM ini dapat ditangkap segera,” kata polis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram