'Scammer Baling,' gadis 23 tahun dituduh bawa lari duit RM10 juta


  • Tular
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan mangsa meminta wang mereka dikembalikan.

SEORANG wanita mendakwa dia dan rakan-rakannya kerugian RM10 juta selepas diperdaya menyertai pelaburan saham bersama seorang gadis di Baling, Kedah.

Dalam satu video tular yang dimuat naik menerusi akaun TikTok nadyasuccess, wanita itu dilihat menuntut semula wang miliknya daripada suspek yang didakwa dalang utama di sebalik pelaburan saham tidak wujud itu.

"Scammer Baling," tulisnya.

Dalam video tersebut, kedengaran mangsa meminta wanita tersebut memulangkan semula duit miliknya yang telah dilaburkan.

"Pada masa ini kami ambil apa yang ada dahulu, setakat emas yang 'halus-halus' kami ambil untuk ganti balik.

"Emak dia (suspek) kata, semua barang kemas dah tak ada. Habis, tapi tak tahulah kalau mereka simpan dalam Tabung Haji, kita ambil apa saja yang ada sekarang," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, ada beberapa individu turut mendakwa telah ditipu oleh orang yang sama.

"Ini bukan 'skim kutu'. Ini skim pelaburan yang dia reka sendiri.

"Contoh modal RM3,000 selepas itu dapat RM7,000.

"Saya sendiri jadi mangsa, bayar RM6,000 konon-konon dapat RM13,000," kata azharinaazharina4.

Sementara itu, seorang lagi individu turut mendakwa menjadi mangsa wanita itu.

"Facebook dia dah 'padam'. Aku sendiri kena tipu RM300,000. Budak lagi dan tak tahu siapa yang ajar dia scam orang sampai berjuta.

"Tertarik nak join sebab tawaran yang diberikan sangat menarik dan dah banyak kali join dan duit masuk.

"Tiga orang dalam video ini rasanya kena tipu dalam RM700,000," ANSoneLegacy.

Menurut seorang daripada mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Nor, dalang utama di sebalik pelaburan saham dikenali sebagai E***l W****y.

"Ramai sudah yang menjadi mangsa. Muda lagi, rasanya baru berumur 23 tahun.

"Main 'free cash'. Lagi banyak yang dilaburkan, makin banyak pulangan.

"Dah ramai dah orang di Baling kena tipu, ada juga yang datang dari negeri lain.

"Kalau tengok cara dia memang nampak mewah, ada bisnes dan kedai. Memang ada yang akan tertipu dengan pelaburan itu," katanya pada Majoriti.

Menurut Nor lagi, beberapa mangsa telah membuat laporan polis berhubung dengan kes penipuan tersebut.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram