[VIDEO] Memang untung! Ketahui kelebihan dan tip berjimat cermat guna e-tunai


  • Massa
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Kerajaan akan memberikan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada 10 juta rakyat dewasa berkelayakan daripada golongan B40 dan M40 melalui Program eMADANI.

TEKNOLOGI yang semakin berkembang menyaksikan pelbagai teknologi terkini menggantikan urusan tradisional yang dilakukan secara harian.

Ia bukan hanya menyentuh aspek teknologi pengkomputeran dan komunikasi, bahkan menyerap dalam semua aspek kehidupan termasuk kejuruteraan, perubatan, sosial, ekonomi dan juga kewangan.

Sebagai sebuah negara maju, Malaysia juga tidak terkecuali memanfaatkan teknologi terkini bagi memudahkan urusan pihak pentadbir kerajaan, sektor swasta, penyedia pelbagai perkhidmatan dan juga urusan seharian pengguna.

Penggunaan e-dompet atau e- tunai (e-wallet) contohnya menjadikan sebarang bentuk pembayaran semakin mudah.

Faedah lain yang diperoleh pengguna apabila menggunakan e-wallet adalah transaksi kewangan lebih selamat berbanding wang tunai. Hal ini kerana e-dompet digunakan melalui aplikasi bank secara atas talian yang dimuat turun dalam telefon pintar masing-masing.

Pada masa yang sama, penggunaan e-wallet dapat memudahkan anggota masyarakat untuk mengawal perbelanjaan.

2414988

Penggunaan e-dompet menjadikan sebarang bentuk pembayaran semakin mudah.

Selain daripada ciri keselamatan yang ditambah baik, e-wallet atau aplikasi bank-bank secara dalam talian membangunkan ciri untuk kita melihat transaksi yang berlaku dalam akaun bank masing-masing.

Perunding Kewangan Berlesen (Certified Financial Planner), Dr Adam Zubir melalui satu temu bual siaran televisyen berkongsi kelebihan menggunakan e-dompet yang juga dikenali sebagai e-tunai.

"Antara kelebihan menggunakan e-dompet ialah pengguna dapat mengumpul pelbagai ganjaran yang ditawarkan oleh pengendali e-dompet ini untuk menarik pengguna menggunakan aplikasi mereka.

"Ganjaran lain yang ditawarkan ialah pengumpulan mata, wang tunai, baucar, setem dan potongan harga," katanya.

Menurutnya lagi, melalui ganjaran tersebut dia sendiri dapat menjimatkan perbelanjaan harian.

"Saya sendiri dapat berjimat dari RM50 hingga ke RM100 sebulan. Itu menunjukkan saya untung walaupun menggunakan e-dompet, saya dapat duit tambahan daripada menggunakan aplikasi tersebut.

8ccf162-7de-1ace-0ccb-277b8eac3d4_Dr_Adam_Zubir.jpeg

Perunding Kewangan Berlesen (Certified Financial Planner), Dr Adam Zubir.

"Selain itu, kita dapat menguruskan duit dan perbelanjaan harian dengan menggunakan e-dompet ini.

"Bila dapat gaji, saya teruskan asingkan duit saya dalam bank-bank tertentu. Saya menggunakan sistem tiga bank iaitu bank keperluan, bank simpanan dan bank kemahuan.

"Bank keperluan ini sahaja yang saya gunakan untuk topup (tambah nilai) e-dompet ini. Ini bermaksud ia boleh mendisiplinkan pengguna.

Penggunaan e-wallet semakin popular pada ketika ini dan terbaharu kerajaan akan memberikan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada 10 juta rakyat dewasa berkelayakan daripada golongan B40 dan M40 melalui Program eMADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi program berkenaan seperti diumumkan pada majlis peluncuran kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lalu.

Sebanyak empat penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet mengambil bahagian dalam program itu.

Selain RM100 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat turut memberi insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai, diskaun atau mata ganjaran (reward points) sepanjang tempoh program berkenaan.

Kementerian Kewangan memaklumkan, syarat- syarat kelayakan bagi pendaftaran Program eMADANI mestilah merupakan warga Malaysia berusia 21 tahun ke atas pada 1 Januari 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram