
TINDAKAN berani seorang lelaki menenangkan ketegangan yang berlaku didakwa melibatkan seorang anggota polis dan penunggang motosikal di sebuah jalan raya menarik perhatian ramai.
Ia selepas tularnya sebuah video di media sosial sejak Rabu memaparkan kejadian yang berlaku ketika trafik sedang sesak, namun lokasi sebenar tidak dinyatakan.
Menerusi video dimuat naik di Facebook DemiRakyat Channel, kelihatan penunggang motosikal dengan helmet oren berhenti di hadapan seorang lelaki yang didakwa anggota polis sebelum berlakunya pergaduhan kecil.
BACA LAGI: Konon ajak gaduh tengah jalan, 'road bully' kecut perut lari kena kejar polis
Namun, beberapa minit kemudian, mereka ditenangkan seorang lelaki yang juga penunggang motosikal jenis Yamaha Y16 bersama seorang wanita dipercayai isterinya ketika itu.
Dia dilihat dengan pantas turun daripada motosikal dan menarik penunggang terbabit ke tepi sambil menenangkan keadaan.
Berdasarkan kapsyen pemilik video dipercayai isteri kepada lelaki berkenaan, dia meluahkan rasa bangga dengan tindakan suaminya itu.
Bagaimanapun, punca kejadian masih belum dapat dipastikan lagi.
Sementara itu, rata-rata warganet tidak terkecuali dalam memberikan reaksi dan majoritinya memuji tindakan lelaki berkenaan.
"Bagus, itu pasal ilmu merendah diri penting. Sama hormat-menghormati. Tunjuklah sikap yang lembut," komen Kapenza Penz.
"Dapat menenangkan orang itu satu kelebihan," tulis Mohd Zairul Kerol.
"Masing-masing tengah tertekan jalankan tugas, semoga okay. Tahniah abang," respons Cik Da.
Setakat ini, tiada lagi kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram