[VIDEO] Konon ajak gaduh tengah jalan, 'road bully' kecut perut lari kena kejar polis


  • Benua
  • Khamis, 09 Nov 2023

Tangkap layar seorang individu lelaki berkelakuan samseng cuba meloloskan diri sebaik dikejar anggota polis di Clayton, Melbourne, Australia.

PERBUATAN seorang lelaki yang berlagak samseng dan mencabar pemandu lain untuk bergaduh di sebuah jalan raya mengundang padah apabila dia dikejar anggota polis di Clayton, Melbourne, Australia pada Selasa.

Insiden terbabit tercetus selepas berlaku perselisihan faham antara individu berusia 22 tahun itu dan seorang pemandu yang juga berada di laluan berkenaan.

Akibat gagal mengawal kemarahan, si pelaku kemudiannya terus memberhentikan kenderaannya di tengah jalan raya dan meluru ke arah mangsa dengan lagak samseng.

Namun, sebaik tiba di tepi tingkap pemandu, dua anggota polis trafik dilaporkan muncul di lokasi kejadian secara tiba-tiba dan berusaha menahan lelaki terbabit.

Tersentak dengan situasi itu, individu terbabit terus berlari dan cuba meloloskan diri daripada ditahan. Malah dia dilaporkan meninggalkan keretanya yang diberhentikan di tengah jalan.

Hasil siasatan polis mendapati bahawa, lelaki berkenaan didakwa sengaja menghampiri sebuah kereta di Lebuhraya Princess berhampiran Clayton kira-kira pukul 12.30 hari dengan kelakuan yang agak agresif.

Selain cuba mengasari mangsa, suspek turut membantah arahan polis dan cuba melarikan diri dari lokasi kejadian.

Individu terbabit bagaimanapun dilaporkan menyerah diri kepada pihak berkuasa dan berdepan beberapa dakwaan antaranya melakukan kerosakan, serangan terhadap pengguna jalan raya lain dan melakukan kesalahan lalu lintas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram