POLIS Johor kini sedang melaksanakan siasatan terhadap dua insiden kebakaran yang berlaku dalam tempoh dua hari berturut-turut sejak Ahad masing-masing di sebuah surau dan masjid di Sri Medan, Batu Pahat, Johor.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian kebakaran terbaharu yang berlaku pada pukul 10 malam Isnin merosakkan sebahagian daripada bangunan Surau Ar Nur Parit Bangas.
“Seorang penduduk tempatan melihat kebakaran ketika melalui kawasan itu dan memaklumkan kepada penduduk berhampiran untuk mendapatkan bantuan.
“Mereka berjaya memadamkan api dalam masa kira-kira 15 minit,” katanya dalam satu kenyataan pada.
Kejadian itu menyebabkan kerosakan terhadap karpet, dua unit penyaman udara, perabot dan pendawaian elektrik di surau terbabit.
Ismail berkata, insiden itu merupakan kebakaran kedua membabitkan rumah ibadat di Sri Medan dalam tempoh dua hari.
Pada Ahad, kebakaran berlaku di masjid Kampung Parit Simis di Sri Medan kira-kira pada pukul 10.50 malam.
Tambahnya, seorang penduduk yang ketika itu sedang melawat masjid menyedari kebakaran itu dan memaklumkan kepada rakan-rakannya.
“Penduduk lain yang berdekatan turut bergegas membantu memadamkan kebakaran tetapi api telah memusnahkan bahagian masjid termasuk karpet, sejadah, pengdingin hawa dan mimbar,” katanya.
Ismail berkata, siasatan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang dijalankan untuk mencari punca kebakaran dan menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terlibat.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta datang ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline polis Johor di talian 07-2212 999.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata, walaupun dua kejadian itu adalah sesuatu yang di luar jangka, beliau bersyukur kerana tiada individu cedera dalam kebakaran tersebut.
“Saya berharap keadilan dapat ditegakkan sekiranya terdapat unsur jenayah.
“Sekiranya punca kebakaran disebabkan pendawaian elektrik, saya akan pastikan semua masjid dan surau di Johor diperiksa segera bagi mengelak kejadian serupa berlaku,” katanya sambil menambah beliau akan turut melawat kedua-dua lokasi itu pada Selasa. — The Star/YEE XIANG YUN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
