SEORANG lelaki terpaksa berputih mata apabila situasi kemalangan membabitkan kereta miliknya yang dilanggar seorang penunggang motosikal berkemungkinan tidak melayakkan dia membuat tuntutan insurans.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook Ravijemss Hopboyz pada Rabu, dia melontarkan pertanyaan kepada warga maya berhubung tuntutan insurans dalam kes kemalangan yang dialaminya baru-baru ini.
Dia pada masa sama meluahkan rasa kecewanya terhadap sikap penunggang motosikal terbabit kerana melarikan diri selepas kejadian.
Melalui gambar yang disertakan, kelihatan cermin sisi kereta mangsa patah akibat daripada pelanggaran tersebut.
Katanya, ketika itu dia dalam keadaan terburu-buru untuk menghantar isterinya yang hendak bersalin ke hospital di kawasan tidak dinyatakan.
BACA LAGI : Pemandu keliru boleh atau tidak 'claim' insurans jika disondol motor
"Hari sangat teruk. Saya bergegas bawa biniku ke hospital bersalin dan motosikal ini langgar kereta saya. Saya beritahu dia untuk tunggu sementara hantar isteri ke dalam wad kecemasan.
"Itu orang terus hilang. Nasib baik nombor plat ada. Tapi orang kata, insurans motosikal tidak boleh dituntut untuk kereta betul ke?," tulisnya.
Insurans motosikal dikatakan lebih sedikit berbanding kereta.
Susulan itu, seorang ejen insurans yang tidak mahu dikenali berkata, dalam situasi kemalangan melibatkan motosikal, insurans penunggang itu tidak dapat melindungi pemandu kereta walaupun pemandu tidak bersalah.
"Kalau di Malaysia, motosikal ni istimewa sebab dia kecil dan perlindungan insurans dia pun sedikit berbanding kereta. Ini antara sebab asas kenapa tidak boleh tuntut," katanya kepada Majoriti.
Sementara itu, ia juga disokong oleh salah seorang warga maya yang juga merupakan ejen insurans dengan menggunakan akaun Facebook Muhammad Izzudin Mohd Azam.
"Selama aku jadi ejen insurans tak pernah lagi dengar kereta boleh tuntut insurans atas motosikal walaupun motosikal itu salah.
"Motosikal tu boleh tuntut insurans atas kereta walaupun motosikal tu salah. Kalau kemalangan dengan motosikal sebaik-baiknya selesaikan tepi dahulu. Tapi kalau penunggang motosikal tu cedera masuk hospital memang tak boleh apa-apa, akan tuntut atas kereta juga," komennya.
BACA LAGI : Orang mati didaftar insurans? Lelaki persoal skim Insan Selangor atas nama arwah ibu
Bukan itu sahaja, dia turut menjelaskan bahawa ia sudah ditetapkan walaupun penunggang motosikal mengambil kedua-dua jenis insurans iaitu 'first party' dan 'third party'.
Muhammad Izzudin berkata, insurans pihak pertama atau lebih formal disebut sebagai insurans komprehensif memberikan perlindungan yang lengkap buat pemilik kenderaan.
Perlindungan untuk polisi insurans 'first party' itu meliputi kerosakan kenderaan sendiri akibat kemalangan, kecurian atau kebakaran kenderaan, serta perlindungan untuk kerosakan kenderaan, kecederaan atau kematian pihak ketiga.
Insurans 'third party' atau turut disebut sebagai insurans pihak ketiga merupakan polisi insurans yang menyediakan perlindungan paling asas. Sama seperti namanya, polisi itu hanya menyediakan perlindungan untuk pihak ketiga iaitu pihak yang dilanggar.
Pada masa sama, dia menambah, motosikal mempunyai perlindungan insurans kecil yang sekali gus menjadi antara sebab mengapa tidak dapat dituntut oleh pemandu kereta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram